NEYMAR (kanan) melepasi pemain Liverpool, James Milner (tengah) dan Mohamed Salah awal musim ini. — FOTO Agensi
NEYMAR (kanan) melepasi pemain Liverpool, James Milner (tengah) dan Mohamed Salah awal musim ini. — FOTO Agensi
AFP

BINTANG Paris Saint-Germain, Neymar tidak menolak kemungkinan dia akan menyertai kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Pemain bola sepak termahal dunia itu kini menjalani pemulihan kecederaan kaki dialaminya pada 23 Januari lalu dan dia dikaitkan dengan kepulangan ke La Liga sejak menyertai PSG dari Barcelona pada 2017.

“Pada masa depan, apa saja satu kemungkinan,” katanya kepada saluran televisyen Brazil, Globo di Sao Paulo, hari ini.

“Saya tak katakan saya akan ke Real Madrid, sila bertenang. Setiap orang tahu saya sudah memenuhi impian dengan bermain untuk Barcelona.

“Real Madrid satu daripada pasukan terbesar di dunia, setiap pemain yang berminat dengan kelab itu mahu bermain buat mereka. Ketika ini saya amat gembira di Paris.”

Neymar berkata, bintang Barcelona, Lionel Messi menghantar ucapan cepat sembuh kepadanya selepas mendapat tahu mengenai kecederaan terbarunya.

“Pada masa saya amat memerlukan sokongan daripada setiap orang dan pasukan, pemain terbaik di dunia menyatakan ‘Saya di sini untuk membantu anda’,” katanya.

Neymar akan terlepas aksi kedua, pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini menentang Manchester United susulan masalah cedera tulang metatarsal dialaminya enam minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 8:27 PM