IZZUDDIN (kiri) dan Sze Fei kini berada  di ranking ke-46 dunia.
IZZUDDIN (kiri) dan Sze Fei kini berada di ranking ke-46 dunia.
Ferzalfie Fauzi

SELEPAS tidak konsisten selama dua musim, ketua jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman yakin bahawa anak buahnya Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akan mempamerkan persembahan cemerlang musim ini.

Keyakinan Paulus semakin menebal apabila gandingan nombor tiga negara itu berjaya memberikan persembahan cemerlang mara sehingga separuh akhir Masters Thailand bulan lalu.

"Sekarang Goh V Shem-Tan Wee Kiong sudah tiada dalam skuad kebangsaan, jadi saya mahu melonjakkan mereka untuk menjadi pasangan ketiga negara dan dalam masa sama memang saya mempunyai perancangan buat mereka bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, semalam.

Jelasnya, walaupun ranking Sze Fei-Nur Izzuddin masih agak jauh namun penyertaan mereka di Masters Sepanyol dan Terbuka Jerman bulan ini diharap mampu membantu mereka.

"Saya rasa mereka ada peluang sedikit demi sedikit untuk berada dalam kelompok 30 terbaik dunia dan selepas itu barulah mereka boleh mengambil bahagian di kejohanan bertaraf 750 hingga 1,000.

"Sekarang mereka berada di tangga ke-46 dunia, jadi sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan ini mereka mampu melonjak dalam linkungan 30 terbaik. Mereka akan menyertai kejohanan sehingga April jadi apabila bermulanya kelayakan ke Olimpik pada Mei depan saya harap mereka mudah untuk menyertai kejohanan bertaraf 750 hingga 1,000," kata Paulus.

Dalam masa sama, pengendali kelahiran Indonesia itu menganggap Sze Fei-Nur Izzuddin mampu untuk mengejar gandingan nombor satu dan dua dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

"Sebenarnya mereka ada kemampuan untuk setanding dengan kedua-dua gandingan berkenaan. Bagaimanapun, saya mahu mereka bersaing secara sihat dan merasakan diri mereka juga lebih baik.

"Sebelum ini saya lihat mereka memang mempunyai masalah terutama dari segi keyakinan dan tahun lalu saya ada memanggil mereka duduk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian. Jadi bermula Januari ini saya mahu kecemerlangan mereka di Masters Thailand berterusan.

"Jika tidak sebelum ini mereka sentiasa hilang keyakinan apabila asyik tumpas di pusingan pertama. Keserasian di antara mereka juga sudah semakin mantap, begitu juga dari segi komunikasi. Memang kalau pemain beregu akan sentiasa berdepan dengan masalah tapi janganlah biar ia terlalu lama," kata Paulus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 8:42 PM