PEMAIN beregu lelaki, Goh Sze Fei (kanan) dan Nur Izzuddin Rumsani masih berpeluang mendapat tempat dalam skuad Piala Thomas. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PEMAIN beregu lelaki, Goh Sze Fei (kanan) dan Nur Izzuddin Rumsani masih berpeluang mendapat tempat dalam skuad Piala Thomas. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Fabian Peter

 

PELUANG terakhir buat beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk membuktikan mereka layak mendapat tempat dalam skuad Piala Thomas yang akan berlangsung bulan depan.

Salah satu langkah terbaik ialah dengan beraksi cemerlang di Cabaran Antarabangsa Malaysia yang sedang berlangsung di Stadium Juara Bukit Kiara ketika ini.

Hari ini, beregu ranking keempat negara itu – yang juga juara bertahan – mara ke pusingan kedua selepas menewaskan gandingan Taiwan Lee Chia Han-Yang Po Hsuan 21-17, 13-21, 21-12 pada pusingan pertama.

Sze Fei-Nur Izzuddin, yang bergelut mendapatkan kembali rentak mereka sejak mara ke final Masters Malaysia di Sibu tahun lalu, sedar situasi yang sedang mereka hadapi sekarang.

“Semuanya terjejas selepas lutut saya cedera tahun lalu. Ia berlaku selepas Masters Malaysia,” kata Nur Izzuddin yang akan bertemu gandingan Hong Kong Ho Wai Lun-Mak Hee Chun esok.

“Apabila saya kembali selepas dua bulan, kami kehilangan rentak. Tewas awal di dua kejohanan berturut-turut merencatkan tahap keyakinan kami. Namun kemenangan di kejohanan ini tahun lalu membangkitkan semula harapan kami.

"Bagaimanapun kami tidak mahu menambah tekanan ke atas diri kami hanya kerana kami turun sebagai juara bertahan.

"Berkenaan Piala Thomas, kami tidak tahu siapa yang tersenarai siapa yang tidak, tetapi kami tahu kami perlu bekerja keras jika mahu mendapat tempat. Jurulatih kami (Cheah Soon Kit) menyuruh kami untuk bersedia, jadi kami tahu apa yang perlu dilakukan.”

Pilihan keenam Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mara ke pusingan kedua beregu lelaki hari ini. Beregu negara itu yang masih menanti gelaran sulung di peringkat senior, menewaskan lawan dari Hong Kong Chan Tsz Kit-Yeung Shin Choi 21-15, 21-19 pada pusingan pertama dan akan bertemu Do Tuan Duc-Pham Ho Nam dari Vietnam selepas ini.

Dalam acara beregu wanita, pilihan utama Soong Fie Cho-Tee Jing Yi menepati sasaran mara ke pusingan kedua selepas menewaskan gandingan Indonesia Mychelle Chrystine Bandaso-Winny Oktavina Kandow 21-18, 21-13. Mereka akan bertemu Rira Kawashima-Saori Ozaki dari Jepun pada pusingan kedua.

Sementara itu pusingan kedua perseorangan lelaki menyaksikan pemain-pemain negara Soong Joo Ven, Tan Jia Wei serta pemain bebas Zulhelmi Zulkiffli dan Alfred Lau berjaya mara ke pusingan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 10:21 PM