MOHAN digantung enam bulan oleh Persatuan Hoki Johor. FOTO Mohammad Mohan
MOHAN digantung enam bulan oleh Persatuan Hoki Johor. FOTO Mohammad Mohan
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Hanya kerana kelantangannya memperjuangkan isu padang hoki Majlis Daerah Pontian (MDP) yang rosak, penggiat hoki di daerah itu, Mohammad Mohan Abdullah dikenakan hukuman penggantungan selama enam bulan oleh Persatuan Hoki Johor.

Pihak persatuan menerusi sepucuk surat kepada Mohan bertarikh 19 Mac berkata, beliau dihukum kerana mengeluarkan kenyataan media tidak berasas ke atas badan induk itu.

"Sehubungan dengan itu, tuan diberi masa 14 hari dari tarikh surat ini dikeluarkan bagi mengemukakan sebarang rayuan kepada Majlis Jawatankuasa Rayuan Persatuan Hoki Johor.

"Sekiranya tiada sebarang maklum balas dari pihak tuan sepanjang tarikh yang ditetapkan, maka tindakan tatatertib tersebut akan berkuatkuasa bermula dari 2 April 2021," demikian kandungan surat itu kepada Mohan.

Sementara itu Mohan mendakwa, hukuman itu hanya semata-mata mahu menghalangnya daripada bertanding jawatan Presiden Persatuan Hoki Daerah Pontian yang bakal berlangsung 3 April ini.

ISU Padang hoki MDP yang pernah dilaporkan Harian Metro. FOTO Penggiat hoki Pontian
ISU Padang hoki MDP yang pernah dilaporkan Harian Metro. FOTO Penggiat hoki Pontian

"Ramai yang mahu saya menjadi presiden hoki di daerah ini. Dengan penggantungan ini, maka saya tidak boleh bertanding. Saya mohon Persatuan Hoki Johor untuk tarik balik keputusan mereka," katanya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan luahan Mohan berhubung padang hoki berkenaan yang rosak dan hanya sempat digunakan selama tujuh bulan sebelum ditutup pada Oktober 2017.

Dakwa Mohan yang juga bekas pemain Johor, padang berkenaan rosak kerana tidak mengikut spesifikasi ditetapkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), sebaliknya ia hanya menggunakan karpet keras berwarna hijau dan bukannya turf sebenar.

Bagaimanapun isu berkenaan akhirnya menemui jalan penyelesaian apabila pihak MDP memberi jaminan akan membaikinya.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Yang Dipertua (YDP) MDP, Nor Syazlan Abd Razak kepada Mohan menerusi satu pertemuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 2:28 PM