PEP GUARDIOLA
PEP GUARDIOLA
AFP

NEWCASTLE: Pep Guardiola menegaskan peluang Manchester City untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris masih belum berkubur, sekali pun akur Liverpool kini memiliki kelebihan untuk bergelar juara.

Liverpool - kendalian Jurgen Klopp, boleh menggandakan kelebihan di puncak kepada tujuh mata, jika menang ke atas Leicester, awal pagi esok selepas penyandang juara itu dipalit kekalahan mengejut 1-2 kepada kelab bergelut, Newcastle, awal pagi tadi.

Perlawanan ke-100 pengendali dari Sepanyol itu bertukar menjadi detik hitam di St James Park, sekali pun Sergio Aguero meletakkan City mendahului seawal 24 saat perlawanan - menjadi jaringan terpantas Liga Perdana Inggeris musim ini.

Begitupun, Guardiola tidak bersedia mengaku kalah ketika saingan masih berbaki kira-kira tiga bulan dan menjangkakan banyak kejutan boleh terjadi dalam usaha Liverpool mengakhiri penantian 29 tahun menggenggam trofi.

“Kita berada di bulan Januari,” kata Guardiola. “Masih ada banyak masa tetapi sudah tentu, apabila kamu berada di belakang pendahulu, kamu tidak mahu melepaskan mata ketika perlawanan makin kurang, tetapi masih banyak aksi yang perlu diharungi.

“Kelebihan tujuh mata adalah banyak, tetapi kita bukan berada pada bulan April atau Mei. Masih banyak perlawanan dan apa saja boleh berlaku.

“Masih banyak perlawanan yang sukar yang perlu diharungi untuk kekal di saingan ini, atau untuk bermain di Liga Europa atau Liga Juara-Juara.

“Dalam kes kami, kami akan melakukan yang terbaik untuk berada di sana dan tidak akan mengaku kalah,” kata bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu.

Selepas mengharungi kekalahan pertama daripada lapan kemenangan berturut-turut, City akan kembali beraksi di gelanggang sendiri bertemu Arsenal, pada Ahad ini.

“Kami tidak memandang rendah Newcastle, tidak mungkin. Kami tidak pernah melakukannya dan disebabkan itu kami masih berada dalam empat kejohanan. Itulah sebab mengapa kami merekod 100 mata pada musim lalu,” kata Guardiola.

“Ia disebabkan oleh kerana kadang kalanya kami tidak bermain dengan tahap sebenar dan ia boleh terjadi, ia bukan malam kami, dan itulah yang saya faham sepenuhnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 11:11 AM