MARCO ASENSIO
MARCO ASENSIO
AFP

MADRID: Real Madrid mendaki tangga teratas La Liga, selepas jaringan tunggal Marco Asensio memberikan kemenangan 1-0 ke atas Espanyol, awal pagi tadi.

Kemenangan di Santiago Bernabeu itu mungkin memberi kelebihan buat Real untuk mengatasi Barcelona yang dijadual bertemu Girona, hari ini untuk tempoh sekurang-kurangnya 24 jam dengan rekod sempurna.

Bagaimanapun, pertembungan itu mendedahkan kerapuhan jentera pertahanan skuad kendalian Julen Lopetegui yang sudah mengharungi enam aksi kompetitif, termasuk keputusan seri menentang Athletic Bilbao di gelanggang lawan.

Selepas mencatat kemenangan ke atas AS Roma dalam kempen Liga Juara-Juara, Khamis lalu, beberapa perubahan dibuat Lopetegui - antaranya merehatkan Gareth Bale, Marcelo dan Dani Carvajal.

Begitupun, jika peluang yang sama diberikan terhadap Atletico Madrid pada pertembungan tetangga minggu depan, nasib mereka mungkin berbeza selepas lawan itu menang 2-0 ke atas Getafe pada aksi lebih awal.

“Perlawanan yang memberikan rasa gemuruh dan pada 15 minit terakhir, kami kurang kawalan,” kata Lopetegui. “Perlawanan selepas Liga Juara-Juara sentiasa merbahaya dan kami mengetahuinya.”

Ketiadaan Carvajal memberi penampilan sulung buat Alvaro Odriozola yang tiba dari Real Sociedad musim panas ini, manakala Thibaut Courtois menggantikan Keylor Navas sekali gus meneruskan strategi penggiliran Lopetegui di depan pintu gol.

Espanyol dua kali hampir memecah kebuntuan menerusi serangan balas pertama, susulan kesilapan Raphael Varane namun ia disia-siakan Pablo Piatti.

Kesilapan sama dilakukan apabila Courtois terpaksa menampan rembatan Hernan Perez, tetapi cubaan susulan Didac Vila berjaya dihalang oleh Casemiro.

Real memperoleh gol kemenangan pada minit ke-41 apabila rembatan Luka Modric tiba tepat di kaki Asensio yang mudah menyumbat gol untuk menewaskan penjaga gol Espanyol.

Pengadil, Mateu Lahoz pada awalnya membatalkan jaringan berkenaan kerana offsaid, tetapi Real diselamatkan dengan Video Bantuan Pengadil (VAR).

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 9:59 AM