NOOR Azam minta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian sebuah kereta milik seorang peniaga ditembak berdekatan lampu isyarat di Bangunan Rasah Prima, di Seremban, kelmarin supaya tampil memberikan maklumat. FOTO/FAIL
NOOR Azam minta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian sebuah kereta milik seorang peniaga ditembak berdekatan lampu isyarat di Bangunan Rasah Prima, di Seremban, kelmarin supaya tampil memberikan maklumat. FOTO/FAIL
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


POLIS meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian sebuah kereta milik seorang peniaga ditembak berdekatan lampu isyarat di Bangunan Rasah Prima, di Seremban, kelmarin supaya tampil memberikan maklumat.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kerjasama saksi penting kerana individu itu mungkin mengecam dan keadaan tubuh suspek.

Katanya, sebaik tiga das tembakan dilepaskan ke arah kereta mangsa, suspek melarikan diri dengan menunggang motosikal ketika hujan lebat serta jalan sesak.

“Pihak kami (polis) masih menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tepi jalan.

“Saksi diminta tampil membantu polis dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di talian 06-768 2222,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang peniaga ketakutan apabila seorang lelaki tidak dikenali melepaskan tiga das tembakan ke arah kereta BMW yang dinaikinya di lokasi berkenaan.

Pada kejadian 6.30 petang, mangsa berusia 46 tahun memandu seorang diri dari Kuala Sawah, Rantau menghala ke Pekan Seremban sebelum didekati lelaki bermotosikal yang melepaskan tembakan di bahagian belakang kenderaan.

Mangsa yang juga pemilik syarikat import kepala lori membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan memaklumkan tidak memiliki sebarang masalah perniagaan sejak menjalankan perusahaan itu pada 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 8:12 PM