Saddiq beri jaminan. FOTO NSTP
Saddiq beri jaminan. FOTO NSTP
Haika Khazi


KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia membantu menyelesaikan masalah bekas pelumba basikal para kebangsaan, Shukor Farhan Suliman dan Mohd Nur Syafiq Suhaimy (jurumudi pelumba basikal buta) yang terpaksa berniaga jambu di tepi jalan  berhampiran TTDI Jaya, Shah Alam selepas mereka tidak ditawarkan semula menjadi atlet sepenuh masa di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN).

Jaminan itu diberikan Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang terus mengadakan pertemuan dengan  mereka bersama Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, sejurus pulang daripada lawatan kerja di Hong Kong, malam tadi.

"Sebaik pulang dari Hong Kong, saya terus mengadakan perjumpaan bersama Shukor dan Syafiq. Ketua Pengarah MSN dan jurulatih mereka turut hadir bagi mencari cara terbaik untuk membantu mereka.

"Saya mendengar penjelasan yang diberikan oleh semua pihak. Keputusan menggugurkan mereka berdasarkan penilaian prestasi yang dibuat oleh jawatankuasa serta ketua jurulatih dan ia memang dibuat setiap tahun," katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Istagram peribadinya di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan ketua jurulatih skuad basikal para kebangsaan, Johari Nayan, mengesahkan enam anak buahnya tidak diberikan surat tawaran baharu untuk menjadi atlet sepenuh masa di bawah program MSN kerana gagal mencapai indeks prestasi utama (KPI) dan isu masalah disiplin.

Antara yang tidak menerima surat itu termasuklah Shukor yang juga pemenang pingat emas acara 3 kilometer (3KM) kejar-mengejar berbasikal individu di Sukan Para ASEAN 2017 dan Syafiq.

Johari menjelaskan punca utama Farhan tidak mendapat surat tawaran menjadi atlet sepenuh masa ialah kerana dia gagal mencapai KPI ditetapkan MSN dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk meraih sebarang pingat biarpun sudah dua kali diberi peluang beraksi di Sukan Asia Incheon 2014 dan Jakarta 2018.

Berikutan itu, Syed Saddiq memberikan jaminan bahawa KBS akan terus menambah baik urusan kebajikan atlet negara, termasuk selepas tamat daripada program sukan bersama MSN.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata antara penambahbaikan yang bakal dilaksanakan ialah meningkatkan kerjasama dengan universiti dan institusi pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) untuk memberikan biasiswa di samping memudahkan atlet melanjutkan pelajaran sewaktu menjalani latihan.

"Akhir tahun lepas kita dapat menjalinkan hubungan dengan dua lagi universiti untuk menjadikan tujuh jumlah keseluruhan. Sasaran kita adalah satu universiti di setiap satu negeri di seluruh Malaysia pada hujung tahun 2019. Fleksibiliti belajar dan biasiswa.

"Selain itu inisiatif skim insuran untuk atlet sedang dikaji untuk diselaraskan di dalam program sukan di bawah MSN dan satu 'pusat sehenti' (one stop centre) untuk memudahkan komunikasi bersama atlet juga akan diwujudkan pada tahun ini," katanya.

Sementara itu, Shukor Farhan berkata, beliau berpuas hati hasil perbincangan dengan Syed Saddiq biarpun masih kurang jelas dengan bentuk bantuan bakal diterimanya daripada KBS.

"Setakat ini belum ada apa-apa keputusan dan persetujuan rasmi dicapai kerana kami hanya berbincang sahaja. Saya juga perlu berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk kembali bersama skuad kebangsaan jika diberikan tawaran menjadi atlet sepenuh masa di bawah MSN semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 4:50 PM