SHUKOR FARHAN SULIMAN
SHUKOR FARHAN SULIMAN
Haika Khazi

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad basikal para kebangsaan, Johari Nayan, mengesahkan enam anak buahnya tidak diberikan surat tawaran baharu untuk menjadi atlet sepenuh masa di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) kerana gagal mencapai indeks prestasi utama (KPI) dan isu masalah disiplin.

Antara yang tidak menerima surat tawaran baharu termasuklah pemenang pingat emas acara 3 kilometer (3KM) kejar-mengejar berbasikal individu di Sukan Para ASEAN 2017, Shukor Farhan Suliman, 23, dan Mohd Nur Syafiq Suhaimy (jurumudi pelumba basikal para).

Johari menjelaskan punca utama Farhan tidak mendapat surat tawaran menjadi atlet sepenuh masa ialah kerana dia gagal mencapai KPI ditetapkan MSN dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk meraih sebarang pingat biarpun sudah dua kali diberi peluang beraksi di Sukan Asia Incheon 2014 dan Jakarta 2018.

“Kita juga ambil kira soal disiplin termasuk kedatangan ketika latihan di gimnasium, gagal menurunkan berat badan dan kegagalan beliau mengatasi catatan masa peribadi terbaik (PB) sebelum, jurulatih, MSN dan PKBM membuat keputusan untuk tidak memberikan surat tawaran baharu kepada Farhan dan beberapa pelumba basikal para lain.

“Malah, kita memang pernah memberikan teguran dan meminta semua atlet terbabit meningkatkan disiplin diri dan sentiasa memberi sepenuh perhatian ketika mereka menjalani latihan namun tidak diendahkan.

“Oleh itu kita tiada pilihan lain dan memanggil semua atlet berkenaan seorang demi seorang untuk memaklumkan bahawa mereka tidak lagi ditawarkan menjadi atlet sepenuh masa di bawah MSN, sebulan lebih awal supaya mereka boleh bersedia dan perlu kembali bekerja dengan majikan masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, Johari berkata tindakan itu perlu kerana sebelum ini kebanyakan pelumba basikal para yang bekerja diberikan pelepasan oleh majikan untuk mewakili Malaysia dengan syarat MSN membayar gaji dan elaun kepada mereka mengikut kaedah tertentu.

Bagaimanapun, Johari menegaskan itu tidak bermakna mereka dibuang terus dan masih boleh menjalani latihan dan mendapat tunjuk ajar daripada barisan jurulatih negara pada bila-bila masa yang sesuai.

“Kita juga telah cuba membantu atlet berkenaan untuk meneroka atau mencari peluang pekerjaan dan menceburi sukan lain yang bersesuaian dengan keadaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Farhan ketika dihubungi mengakui bahawa punca utama dia tidak disambung kontrak adalah kerana gagal mencapai KPI ditetapkan MSN iaitu menang pingat di Sukan Asia Jakarta 2018.

“Saya mengakui gagal mencapai KPI ditetapkan MSN dan mengatasi catatan masa PB kerana sebagai manusia biasa adakalanya saya cergas mahu pun sebaliknya.

“Namun apa yang saya kurang jelas mengenai soal masalah disiplin dibangkitkan dan kenapa mereka simpan beberapa atlet bermasalah dan mempunyai prestasi lebih teruk dari saya jika KPI dan disiplin menjadi ukuran utama diberikan tawaran semula oleh MSN untuk menjadi atlet sepenuh masa,” katanya.

Selepas tidak mendapat tawaran semula dari MSN, Farhan kini terpaksa berniaga buah jambu bersama Nur Syafiq di tepi jalan berhampiran TTDI Jaya, Shah Alam bagi menampung kehidupan harian dan menyambut kehadiran anak pertama hasil perkongsian hidup bersama Norhasliza Md Zainal, 23, pada Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 7:55 PM