Haika Khazi


PELUMBA basikal paralimpik negara, Shukor Farhan Suliman (gambar) kini memasang impian untuk beraksi di Sukan Para Asia Jakarta, Indonesia 2018 selepas kejayaan meraih pingat emas acara tiga kilometer kejar-mengejar berbasikal individu di Sukan Para ASEAN 2017, Ogos lalu.

Berikutan itu, Shukor Farhan kini giat menjalani latihan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membolehkannya membuat persiapan untuk merebut slot untuk ke Sukan Para Asia nanti.

Shukor Farhan menegaskan beliau perlu berusaha keras dan menjalani lebih awal bagi memastikan tahap kecergasannya sentiasa berada di tahap optimum, sekali gus mencerahkan peluang merebut slot ke Sukan Para Asia 2018.

“Biarpun masih terlalu awal untuk menetapkan sebarang sasaran namun saya akan melakukan yang terbaik andai kata dipilih mewakili negara ke Sukan Para Asia 2018.

“Saya juga kini sedang membuat persediaan rapi untuk mewakili Malaysia ke Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2018 di Velodrom Nasional Nilai, mulai dari 16 hingga 20 Februari tahun depan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelibat Shukor Farhan mula mencuri tumpuan peminat sukan berbasikal negara selepas pelumba berusia 21 tahun itu menghadiahkan kilauan emas dalam acara 3 kilometer kejar mengejar individu (C1, C2, C3) campuran di Sukan Para ASEAN 2017 sekali gus menyaksikan semua pingat emas dibolot pasukan Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Shukor Farhan berkata, beliau bercadang menggunakan wang berjumlah RM20,000 diperoleh daripada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) untuk melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya pada tahun depan.

“Saya sebenarnya sudah bertunang pada April lalu bersama Norhasliza Md Zainal, 22, yang berasal dari Dungun, Terengganu dan kami merancang untuk berkahwin tahun depan.

“Bagaimanapun, kami belum memilih tarikh sesuai untuk melangsungkan perkahwinan kerana masih menunggu jadual latihan dan senarai kejohanan antarabangsa yang perlu saya sertai pada tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 2:20 PM