NOVAK DJOKOVIC
NOVAK DJOKOVIC
AFP

MELBOURNE: Novak Djokovic hari ini meneruskan usaha memburu rekod kejuaraan ketujuh Terbuka Australia dengan mengetepikan pilihan ke-28 dari Perancis, Lucas Pouille 6-0, 6-2, 6-2 seterusnya menempah pertemuan dengan Rafael Nadal.

Ia persembahan hebat dipaparkan di Rod Laver Arena oleh pemain nombor satu dunia itu yang mara ke final pertama di Melbourne sejak 2016.

“Ia pastinya satu daripada perlawanan terbaik saya lalui di gelanggang ini,” kata Djokovic yang memungut 24 mata dan hanya melakukan lima kesilapan.

“Anda tahu, semuanya berlaku seperti yang saya impikan sebelum perlawanan dan ia lebih baik.

“Sesuatu yang sukar buat Lucas, tetapi dia melalui perlawanan yang hebat, saya ucapkan selamat maju jaya buatnya sepanjang musim ini,” katanya.

RAFAEL NADAL
RAFAEL NADAL

Djokovic tewas pada pusingan keempat tahun lalu, diikuti pembedahan siku dan prestasi buruk hingga dia menang di Wimbledon dan menukar musim yang sukar itu.

“Memang 12 bulan lalu saya tidak akan berada seperti hari ini, setahun selepas itu,” kata pilihan utama dari Serbia itu.

“Tapi saya sudah katakan sebelum ini dan saya sentiasa ada keyakinan dalam diri, dan saya rasa keyakinan diri ialah sesuatu yang akan sentiasa bertahan.”

Djokovic akan berdepan pilihan kedua, Nadal dalam pertembungan ke-53 dalam kariernya dan kali kelapan dalam final Slam.

Pada 2012 pasangan berkenaan bertembung dalam perlawanan paling lama di final Grand Slam pada Terbuka Australia apabila Djokovic muncul pemenang dengan kedudukan 7-5 pada set kelima selepas bertarung 5 jam 53 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 8:05 PM