NADAL bergambar dengan trofi Terbuka Itali selepas menundukkan Djokovic di Foro Italico, awal pagi tadi. — FOTO AFP
NADAL bergambar dengan trofi Terbuka Itali selepas menundukkan Djokovic di Foro Italico, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

RAFAEL Nadal mengalahkan musuh utamanya Novak Djokovic 6-0, 4-6, 6-1 untuk memenangi kejuaraan Terbuka Itali kali kesembilan dan rekod gelaran Masters ke-34 awal pagi tadi, menyebabkan lawannya melabel pemain Sepanyol itu sebagai “pilihan nombor satu Roland Garros.”

Pemain nombor satu dunia Djokovic, pemenang Terbuka Madrid minggu lalu, memperagakan permainan dipenuhi kesilapan pada pertembungan ke-54 antaranya dengan pemain ranking kedua Nadal, yang merangkul kejuaraan ke-81 kariernya.

“Akhirnya saya menang satu kejuaraan,” kata Nadal selepas meraih gelaran sulungnya tahun ini.

“Saya gembira untuk mencapai tahap itu pada kejohanan terakhir sebelum acara Grand Slam.”

DJOKOVIC terpaksa berpuas hati dengan trofi naib juara. — FOTO Reuters
DJOKOVIC terpaksa berpuas hati dengan trofi naib juara. — FOTO Reuters

Djokovic mengalahkan Nadal pada final Terbuka Australia tahun ini bagi kemenangan Grand Slam ketiga berturut-turut selepas Wimbledon dan Terbuka AS.

Nadal mengatasi Djokovic di puncak senarai pemenang Masters – kedua-duanya terikat dengan 33 sebelum aksi final – ketika dia berusaha memburu kejuaraan Terbuka Perancis kali ke-12 bermula seminggu lagi.

“Saya bangga mampu mengheret perlawanan ke set ketiga, memandangkan set pertama yang mana saya gagal melawan,” kata Djokovic.

Selepas tiga kekalahan pada separuh akhir di Monte Carlo, Barcelona dan Madrid, Nadal kembali menemui prestasi terbaiknya menjelang Roland Garros.

“Nadal, pilihan nombor satu, tidak diragui lagi berbanding pemain lain,” ujar Djokovic mengenai ramalannya bagi Roland Garros.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 12:05 PM