GELAGAT Djokovic mencium trofi Terbuka Australia di   Royal Botanical Gardens, Melbourne. FOTO AFP
GELAGAT Djokovic mencium trofi Terbuka Australia di Royal Botanical Gardens, Melbourne. FOTO AFP
AFP

NOVAK Djokovic memberikan ‘notis amaran’ kepada Roger Federer selepas memenangi gelaran Grand Slam ke-17 di Terbuka Australia dan bersedia mengejar rekod 20 gelaran bintang Switzerland itu apabila bergelar pemain nombor satu dunia minggu ini.

Djokovic yang menjuarai gelaran kelapan di Melbourne begitu teruja meraih lebih banyak kemenangan sekali gus menamatkan debat siapa paling hebat dalam sejarah tenis.

Kemenangan lima set ke atas Dominic Thiem adalah yang kelapan dalam lapan final di Melbourne, meletakkannya sebaris dengan Federer dan Rafael Nadal sebagai pemain yang menjuarai Slam sama sebanyak lapan kali.

Ia menjadikan Djokovic, 32, pemain lelaki pertama pada Era Terbuka dan kedua dalam sejarah menang gelaran Grand Slam dalam tiga dekad selain merampas semula ranking pertama dunia.

Bintang Serbia itu memulakan kempen musim ini tanpa kekalahan dengan Wimbledon, Terbuka Perancis, Olimpik Tokyo dan Terbuka AS bakal menunggu dan memberinya peluang untuk merealisasikan impian.

Dia telah pun menetapkan sasarannya: mengatasi rekod 19 gelaran utama milik Nadal dan 20 gelaran Federer serta mengatasi rekod 310 minggu di puncak ranking milik bintang Switzerland itu.

Djokovic setakat ini mencatat 276 minggu sebagai pemain nombor satu dan dijangka mampu mencantas catatan 286 milik Pete Sampras di tangga kedua pada April dan 310 milik Federer pada 5 Oktober.

“Jelas pada tahap ini dalam karier saya, gelaran Grand Slam paling saya hargai. Ia menjadi keutamaan saya,” kata Djokovic sambil berkata ‘masih banyak lagi sejarah sepanjang laluan’.

“Grand Slam satu daripada sebab saya masih bertanding dan masih bermain pada keseluruhan musim, cuba mendapatkan nombor satu yang bersejarah (rekod). Itu satu lagi sasaran besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 12:02 PM