DJOKOVIC bergambar dengan trofi dimenanginya pada Terbuka Madrid. — FOTO EPA
DJOKOVIC bergambar dengan trofi dimenanginya pada Terbuka Madrid. — FOTO EPA
AFP

NOVAK Djokovic menyertai Rafael Nadal sebagai juara kejohanan Masters sebanyak 33 kali apabila dia mengalahkan Stefanos Tsitsipas 6-3, 6-4 untuk merangkul kejuaraan Terbuka Madrid kali ketiga, awal pagi tadi.

Pemain nombor satu dunia itu mendominasi lawannya yang jelas keletihan kurang 24 jam selepas pemain Greece berusia 20 tahun itu mengejutkan juara lima kali Nadal pada separuh akhir yang berlanjutan hingga tengah malam Sabtu lalu.

Djokovic dan Nadal kini berusaha meraih kejuaraan Masters ke-34 di Rome minggu ini dalam apa yang dilihat sebagai penunjuk aras menjelang Roland Garros yang bermula pada 26 Mei ini.

Djokovic tidak memberikan Tsitsipas peluang pada aksi final yang memakan masa hanya 90 minit.

DJOKOVIC (kanan) bersama Tsitsipas di pentas podium. — FOTO EPA
DJOKOVIC (kanan) bersama Tsitsipas di pentas podium. — FOTO EPA

“Ini kemenangan yang amat penting buat saya, terutama meningkatkan keyakinan saya,” kata Djokovic, pemenang 15 gelaran Grand Slam.

“Saya tidak beraksi sebaik mungkin selepas menjuarai Terbuka Australia tapi saya memulakan minggu ini dengan baik, tidak kalah sebarang set. Saya berjaya mempamerkan antara aksi terbaik saya di sini.”

Tsitsipas menyanjung Djokovic yang akan menyandang semua empat gelaran Grand Slam jika dia memenangi Terbuka Perancis kali kedua bulan depan.

“Apa yang anda lakukan mencetus inspirasi, amat menakjubkan. Anda memang berhak,” kata pemain Greece itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 1:38 PM