PASANGAN beregu Malaysia, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong. FOTO Luqman Hakim Zubir
PASANGAN beregu Malaysia, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong. FOTO Luqman Hakim Zubir
Fabian Peter


KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mengesahkan sudah mencapai persetujuan dengan syarikat sukan terkemuka, Yonex sebagai penaja mereka dalam persiapan menghadapi pusingan kelayakan Olimpik Tokyo 2020.

Prestasi cemerlang ditunjukkan V Shem-Wee Kiong yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), awal bulan ini dalam dua kejohanan - Masters Thailand dan Malaysia sudah cukup untuk meyakinkan Yonex bagi menjadi penaja mereka.

V Shem-Wee Kiong berjaya muncul juara Masters Thailand sebelum terkandas di separuh akhir pada saingan Masters Malaysia.

Bagaimanapun, tempoh kontrak dan jumlah sebenar penajaan masih belum diketahui dan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu dijangka mula menjadi duta rasmi Yonex bermula saingan Seluruh England, Mac depan.

"Kami sudah mencapai persetujuan dengan Yonex sebagai penaja kami dan akan menandatangani kontrak tidak lama lagi.

“Perbincangan mula dilakukan ketika saingan Masters Malaysia. Kami akan menjadi duta rasmi Yonex pada saingan Seluruh England," kata V Shem.

V Shem-Wee Kiong bagaimanapun terkandas di pusingan pertama Masters Indonesia, semalam.

Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang turut mengambil keputusan bergerak secara profesional berjaya menandatangani kontrak bersama syarikat peralatan sukan, Li-Ning.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 7:34 PM