BEREGU lelaki negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong. FOTO Yazit Razali
BEREGU lelaki negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong. FOTO Yazit Razali
Fabian Peter


KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong tidak akan beraksi pada Terbuka Denmark dan Perancis hujung bulan ini.

Ketua jurulatih Paulus Firman memutuskan untuk menggugurkan gandingan itu susulan beberapa persembahan buruk bulan lalu.

V Shem-Wee Kiong, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, dikecam hebat selepas tersingkir awal pada Terbuka Jepun dan China bulan lalu.

Pasangan nombor satu negara itu turut gagal menyerlah pada kejohanan utama termasuk Sukan Komanwel, Piala Thomas, Kejohanan Dunia dan Sukan Asia, tahun ini.

“Sebenarnya ada dua alasan kenapa saya memutuskan untuk mengetepikan mereka daripada Terbuka Denmark dan Perancis.

“Pertamanya, V Shem mengalami kecederaan di China. Dia terseliuh buku lali dan menjalani pemulihan sejak kembali. Saya tidak fikir dia mempunyai masa untuk bersiap sedia bagi dua kejohanan itu.

“Satu lagi alasan berdasarkan penilaian saya terhadap persembahan mereka dalam dua kejohanan terakhir (Terbuka Jepun dan China).

“Melihat kepada persembahan mereka, saya fikir lebih baik buat mereka tidak bertanding dan bersiap sedia dengan lebih lagi untuk memperbaiki kelemahan mereka,” kata Paulus.

Dengan ketiadaan mereka, kem negara menyandarkan harapan kepada dua beregu - Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk menyerlah pada Terbuka Denmark (16-21 Oktober) dan Terbuka Perancis (23-28 Oktober).

V Shem-Wee Kiong, kini di ranking ke-12 dunia, dijangka kembali ke kejohanan kompetitif bulan depan apabila mereka dijadualkan menyertai Terbuka China dan Hong Kong selain Masters Korea.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 6:40 PM