AZIZULHASNI (kiri) bersama  Shah Firdaus. FOTO arkib NSTP
AZIZULHASNI (kiri) bersama Shah Firdaus. FOTO arkib NSTP
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Jaguh keirin negara, Azizulhasni Awang mengakui trio pecut negara perlu berusaha lebih keras sekiranya mahu menempah tiket ke Olimpik Tokyo.

Gandingan The Pocketrocketman bersama-sama Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis kini menghuni kedudukan ke-21 dalam ranking kelayakan ke Olimpik dengan 307 mata.

"Kami perlu berusaha lebih keras sekiranya mahu menempah tiket ke Tokyo. Kami mampu memperbaiki kedudukan di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Jakarta bulan depan Kejohanan Dunia 2019 di Poland pada Februari.

"Dua perlumbaan ini menawarkan pungutan mata tinggi, jadi ia menjadi sasaran kita. Kami berharap mampu kembali ke tahap terbaik seperti Sukan Asia pada Ogos lalu dengan mencatat rekod baru kebangsaan 43.934 saat. Seboleh-bolehnya kami mahu sekali lagi meleburkan rekod itu.

"Sekiranya ia berlaku, saya percaya kami berada di landasan tepat untuk memburu tiket menerusi acara pecut berpasukan," katanya.

Lapan pasukan terbaik akan menempah tiket Olimpik acara pecut berpasukan yang turut menawarkan satu tiket tambahan untuk keirin dan pecut individu yang secara tidak langsung mencerahkan peluang untuk memburu podium di Tokyo.

"Kami bergelut dalam dua siri awal Piala Dunia kerana baru saja kembali menjalani latihan namun aksi di Berlin dan London menunjukkan peningkatan," jelasnya.

Siri Piala Dunia bagi musim 2018/2019 masih berbaki dua perlumbaan di New Zealand dan Hong Kong pada bulan depan. 

Usaha memburu tiket ke Tokyo masih panjang dengan pelumba akan mengharungi siri Piala Dunia bagi musim 2019/2020 selain kejohanan peringkat benua dan dunia bagi mengumpul mata.

Kali terakhir Malaysia layak menerusi acara pecut berpasukan adalah pada Olimpik Beijing yang menyaksikan penampilan Azizulhasni, Mohd Rizal Tisin dan Josiah Ng namun dua edisi berikutnya hanya layak menerusi acara individu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 5:47 PM