Azizulhasni ranking kedua UCI. FOTO NSTP
Azizulhasni ranking kedua UCI. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Kejayaan menaiki podium dalam dua siri Piala Dunia melonjakkan jaguh negara, Azizulhasni Awang ke tempat kedua ranking acara keirin Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Menerusi kemaskini terbaru laman web UCI, pelumba berusia 30 tahun itu berada di belakang jaguh Australia, Matthew Glaetzer yang unggul di kedudukan pertama.

Kejayaan The Pocketrocketman meraih meraih perak dalam keirin di siri ketiga Piala Dunia di London beberapa hari lalu membolehkan dia mengumpul 450 mata. Gangsa diraih semasa saingan siri ketiga Piala Dunia Jerman pada awal bulan ini pula menyaksikan dia meraih 400 mata.

Secara keseluruhan, ia melonjakkan kedudukannya dari tangga keempat untuk mengumpul 2,445 mata, hanya ketinggalan 55 mata di belakang Glaetzer yang kini di ranking pertama dunia.

Pelumba Jepun, Tomoyuki Kawabata ketiga (2,335) manakala pemenang emas keirin di London, Matthijs Buchli, Belanda (2,280).

Seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom berada di kedudukan ke-39 dengan 1,028 mata.

Malah bagi ranking kelayakan Olimpik acara keirin, kejayaan Azizulhasni menaiki podium sebanyak dua kali melonjakkan Malaysia sebanyak lima anak tangga dengan kedudukan ke-13 bagi acara keirin.

Dalam acara keirin, Malaysia kini mengumpul 1,025 mata dengan Australia (2,190) diikuti Perancis (2,065) dan Great Britain (2,030).

Bagi acara pecut individu untuk ranking kelayakan Olimpik, Malaysia berda di kedudukan ke-21 dengan 307 mata dan ke-16 (945) bagi pecut berpasukan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 6:21 PM