ROGER FEDERER
ROGER FEDERER
AFP

MELBOURNE: Pemain berusia lingkungan 30-an, Roger Federer dan Novak Djokovic berkongsi rekod enam kemenangan Terbuka Australia, tetapi salah seorang daripada mereka akan mencipta sejarah bagi kemenangan ketujuh apabila Grand Slam pertama itu bermula Isnin depan.

Kedua-dua pemain itu berdepan saingan pemain muda, Alexander Zverev yang berhasrat untuk merangkul gelaran utama sulungnya.

Namun persoalannya sekarang adalah terhadap kecergasan Rafael Nadal dan Andy Murray yang mampu menjadikan saingan lebih sengit jika sihat sepenuhnya.

Nadal, 32, yang berada di ranking kedua dunia, menarik diri daripada kejohanan pemanas badan di Brisbane berikutan ketegangan paha kirinya meskipun sebelum itu menyertai perlawanan pertunjukan di Sydney dan menegaskan dia sihat.

NOVAK DJOKOVIC
NOVAK DJOKOVIC

Murray, 31, kelihatan berada di bawah tahap prestasi terbaiknya apabila tewas kepada Daniil Medvedev pada pusingan kedua di Brisbane.

“Saya rasa jika kami sihat dan bermain bagus, empat pemain ini mungkin mempunyai peluang terbaik untuk memenangi Grand Slam ini,” kata Djokovic.

Pemain Serbia itu bagaimanapun menyatakan “generasi selepas ini sudah ada di sini” dengan memetik pemain muda seperti Zverev dari Jerman, Borna Coric dari Croatia, Karen Khachanov dari Russia dan Stefano Tsitsipas dari Greece sebagai ancaman utama mereka.

“Ia hanya menanti masa apabila kami melihat sebahagian daripada mereka bertanding paa perlawanan akhir acara Grand Slam,” kata Djokovic.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 2:26 PM