PASANGAN beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. FOTO Yazit Razali
PASANGAN beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. FOTO Yazit Razali
Fabian Peter


KUALA LUMPUR: Pasangan beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berharap Majlis Sukan Negara (MSN) menimbang untuk menyenaraikan semula mereka dalam program sistem ‘tier’ yang dirombak menjelang Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

Pemenang pingat perak Olimpik 2016 Rio itu, hari ini meraih kemenangan pertama sebagai gandingan profesional apabila mara ke pusingan kedua Thailand Masters susulan kemenangan 21-16, 21-10 ke atas gandingan tuan rumah, Tinn Isriyanet-Chasinee Korepap.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Norza Zakaria, semalam mendedahkan bekas pasangan beregu campuran negara itu tidak disenaraikan dalam program ‘tier’ selepas mereka meninggalkan pasukan kebangsaan bulan lalu.

Selain mereka, turut disisihkan ialah satu lagi gandingan pemenang perak Olimpik Rio, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong.

Peng Soon yang dihubungi di Bangkok, hari ini meluahkan rasa gembiranya susulan kemenangan yang diraih buat pertama kali sebagai gandingan profesional.

“Ia yang pertama buat kami (kemenangan) selaku gandingan profesional dan kami benar-benar memerlukannya,” kata Peng Soon. “Begitupun, agak mengecewakan apabila kami mengetahui yang kami tidak disenarai dalam program baharu, terutama apabila kami masih lagi pasangan nombor satu negara.

“Saya fikir kami lebih memerlukannya ketika ini kerana kami sekarang bergelar pemain profesional.”

Bagi menambah semangat gandingan itu untuk mempertahankan kejuaraan Thailand Masters, mereka turut mengesahkan sudah menandatangani kontrak penajaan dua tahun bersama syarikat peralatan sukan, Li-Ning.

“Liu Ying dan saya benar-benar bersyukur untuk mengesahkan perjanjian penajaan selama dua tahun bersama Li-Ning. Satu lagi penaja utama kami adalah Daikin. Harapnya kami memperoleh beberapa tajaan lagi sebagai usaha untuk mencapai sasaran layak ke Sukan Olimpik 2020.

“Untuk Thailand Masters, perjalanan kami masih lagi jauh tetapi kami akan memberikan yang terbaik dan memenanginya,” kata Peng Soon.

Pasangan nombor enam dunia itu dijangka akan bertemu sama ada pemain kelayakan Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran atau gandingan Russia, Rodion Alimov-Alina Davletova di pusingan kedua, Khamis ini.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 10:13 PM