LIU YING (kiri) dan Peng Soon akan menentang pasangan Indonesia di suku akhir Khamis ini. -Foto fail
LIU YING (kiri) dan Peng Soon akan menentang pasangan Indonesia di suku akhir Khamis ini. -Foto fail
Fabian Peter


BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying bermula dengan langkah kanan dalam kejohanan pertama mereka sejak berpisah April lalu apabila mara ke pusingan kedua Thailand Masters, hari ini.

Pada aksi pusingan pertama di Bangkok, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu menang ke atas pasangan Hong Kong, Chang Tak Ching-Ng Wing Yung 21-19, 21-15.

Bekas beregu campuran nombor satu negara itu akan menentang pasangan Indonesia, Yantoni Edy Saputra-Marsheilla Gischa Islami bagi perebutan tempat ke suku akhir, Khamis ini.

“Ia sesuatu yang hebat apabila dapat kembali ke gelanggang,” kata Liu Ying yang terlepas hampir keseluruhan kejohanan pada tahun lalu selepas menjalani pembedahan bahu di Jerman.

“Saya dan Peng Soon belum berada pada tahap terbaik tetapi itu tidak mengapa. Kami mahu bermain sebanyak mana kejohanan yang boleh tahun ini dan diharapkan boleh dapat kemuncak prestasi pada April.”

“Ini adalah kejohanan pertama saya bersama Peng Soon, jadi saya tidak mahu meletakkan sasaran. Matlamat utama tahun ini beraksi dengan baik pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Kami mahu menang pingat.”

Sementara itu, juara remaja Asia, Leong Jun Hao mengesahkan tempat ke undian utama selepas menyingkirkan rakan senegara yang lebih senior, Soo Teck Zhi 21-18, 21-18 dalam aksi pusingan kelayakan kedua.

Sebelum itu, dia menewaskan pemain tuan rumah, Kantawat Leelavechabutr 11-21, 21-18, 21-9.

Pemain berusia 19 tahun itu akan menentang bekas juara remaja dunia 2011 yang juga pilihan kelapan, Zulfadli Zulkifli pada pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 9:58 PM