Solari percaya kecederaan dialami Bale tidak serius. FOTO AFP
Solari percaya kecederaan dialami Bale tidak serius. FOTO AFP
AFP

MADRID: Jurulatih Real Madrid, Santiago Solari percaya kecederaan paha yang dialami Gareth Bale ketika perlawanan menentang Villarreal, Khamis lalu tidak serius.

Bale menjalani ujian hari ini untuk menilai tahap kecederaannya selepas terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama perlawanan di Stadium De la Ceramica yang menyaksikan Real seri 2-2.

“Kami fikir kecederaannya tidak serius,” kata Solari pada sidang media. “Dia akan menjalani ujian dan kami harap dia kembali menyertai kami secepat mungkin.”

Harapan menggunung diletakkan di bahu Bale musim ini susulan perpindahan Cristiano Ronaldo musim panas lalu tetapi rentak pemain Wales itu sering diganggu oleh isu kecergasan.

Bale sudah beraksi dalam 22 penampilan bersama Real musim ini tetapi hanya bermain selama 90 minit sebanyak lima kali dengan ketiadaannya bermakna peluang lebih terbuka buat Isco yang sebelum ini sering diketepikan Solari.

Menjelang aksi La Liga menentang Real Sociedad di gelanggang sendiri esok, Solari tampak positif apabila ditanya mengenai prospek Isco kembali diturunkan.

“Isco amat bagus, dia boleh bermain di mana-mana posisi di tengah padang,” kata Solari.

“Kadangkala ia bukan saja membabitkan kepantasan. Anda boleh menjadi efektif dengan kreativiti anda, imaginasi, kemampuan teknikal.

“Setiap pemain mempunyai karakter berbeza,” kata Solari dengan skuad kendaliannya ketika ini menghuni tangga keempat La Liga, ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Barcelona susulan keputusan seri dengan Villarreal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 10:10 PM