ZIDANE (kanan) makin sukar untuk memilih  pasukan bagi final Liga Juara-Juara. FOTO/AFP
ZIDANE (kanan) makin sukar untuk memilih pasukan bagi final Liga Juara-Juara. FOTO/AFP
AFP

MADRID: Gareth Bale menyumbat dua gol apabila Real Madrid membelasah Celta Vigo 6-0 dalam aksi La Liga Sepanyol awal pagi tadi sekali gus memeningkan kepala jurulatih Zinedine Zidane memilih pemain bagi final Liga Juara-Juara.

Ketika Cristiano Ronaldo sekali lagi diketepikan kerana kecederaan buku lali, bintang Wales, Bale mencuri tumpuan dengan dua gol pada babak pertama untuk mengukuhkan peluangnya berada dalam kesebelasan utama bagi perlawanan akhir Eropah menentang Liverpool di Kiev dua minggu lagi.

Bale membuka tirai jaringan selepas 13 minit apabila menyempurnakan lorongan cantik Luka Modric.

Gol keduanya selepas setengah jam menyaksikannya meluru ke hujung kotak penalti, memperdayakan seorang pemain pertahanan sebelum melencongkan sepakan kaki kiri ke penjuru gol.

Bale meraikannya dengan mendedikasikan persembahannya buat anak lelaki ketiganya Axel Charles yang lahir Selasa lalu.

“Lebih bagus buat setiap orang untuk mempunyai motivasi dan bersedia,” akui Zidane. “Ia pasti menyukarkan saya untuk memilih pasukan bagi final Liga Juara-Juara.”

Isco menjadikan kedudukan 3-0 buat Real selepas 32 minit sebelum pemain tengah Maghribi, Achraf Hakimi menambah gol keempat tujuh minit selepas rehat.

Pada malam yang malang buat pasukan tangga pertengahan Celta, Sergi Gomez menjaringkan gol sendiri pada minit ke-74 sebelum pemain kebangsaan Jerman, Toni Kroos meledak gol keenam Real selepas 81 minit.

Real kekal di tangga ketiga carta dengan 75 mata, 15 mata di belakang juara Barcelona dan tiga berbanding musuh setempat Atletico dengan berbaki satu perlawanan.

Terdahulu, gol awal Koke ternyata cukup buat Atletico menang 1-0 di Getafe dan mengukuhkan kedudukan mereka untuk muncul sebagai naib juara liga.

Penjaga gol Atletico, Jan Oblak turut menyelamatkan sepakan penalti lewat daripada Faycal Fajr ketika anak buah Diego Simeone memanaskan badan bagi final Liga Europa menentang Marseille, Rabu ini sekali gus menafikan peluang Getafe beraksi di Eropah musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 8:27 AM