GARETH BALE
GARETH BALE
Reuters

ABU DHABI: Jurulatih Real Madrid, Santiago Solari memuji kemampuan Gareth Bale melakukan jaringan hatrik dalam aksi separuh akhir Piala Kelab Dunia dan membuktikan dia mampu menjadi watak utama di ibu negara Sepanyol itu.

Bale menjaringkan tiga gol ketika Real menewaskan Kashima Antlers 3-1 awal pagi tadi untuk meneruskan langkah mereka memburu gelaran juara buat kali ketiga berturut-turut.

Pemain Wales itu menjadi pemain ketiga selepas Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi menjaringkan gol pada tiga edisi berbeza dan gol keenam di Piala Kelab Dunia itu meletakkannya di belakang Ronaldo yang merekodkan tujuh gol.

Harapan tinggi diletakkan kepada Bale selepas penyerang utama dari Portugal itu meninggalkan kelab untuk bersama Juventus tahun ini dan Real menegaskan mereka tidak perlu mencari pemain baharu kerana bekas penyerang Tottenham Hotspur mampu mengisi kekosongan itu.

Biarpun mereka kini menghuni tangga keempat La Liga selepas dibimbing Julen Lopetegui yang dipecat Oktober lalu, Solari percaya aksi dipamerkan Bale ketika menentang Kashima mampu menjadi pemangkin kebangkitan pasukan itu.

“Kami semua mengharapkan prestasi seperti ini setiap hari Ahad, Rabu dan setiap kali kami bermain,” kata Solari.

“Sudah tentu tidak mudah menjaringkan tiga gol pada setiap perlawanan tapi saya tidak hanya maksudkan gol tapi juga komitmennya. Dia mempunyai komitmen itu pada perlawanan terakhir.

“Hari ini semuanya sempurna untuknya. Tapi dia mampu mencapainya kerana komitmen sebelum ini.”

Bale yang memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara dan menjaringkan gol dalam dua perlawanan akhir sejak berpindah dari Spurs pada 2013, dikritik oleh media di Madrid kerana kecederaan dialaminya, prestasi yang tidak menentu dan kurang berintergrasi dengan pasukan.

“Dia menunjukkan apa yang dia mampu lakukan,” kata Solari.

“Kami gembira dengannya dan kami berharap dia mampu melakukannya di final nanti.”

Real akan menentang Al Ain dari Emiriah Arab Bersatu pada Sabtu ini selepas pasukan itu melakar kejutan menewaskan pasukan dari Amerika Selatan River Plate menerusi penentuan sepakan penalti pada separuh akhir pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 11:27 AM