LUKA MODRIC
LUKA MODRIC
AFP

ZAGREB: Luka Modric menambah koleksi anugerahnya selepas kejayaan cemerlang tahun ini apabila dia dinamakan sebagai atlet lelaki terbaik tahunan Croatia, semalam.

Sandra Perkovic, juara Eropah lima kali dalam acara melempar cakera, memenangi anugerah wanita.

Skuad bola sepak, yang muncul naib juara Piala Dunia, dinamakan sebagai pasukan terbaik tahunan Croatia susulan undian 322 wartawan.

Modric mengemudi negaranya layak ke final di Russia Julai lalu dan memainkan peranan utama ketika Real Madrid memenangi trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut, Mei lalu.

Pemain tengah itu dianugerahkan Bola Emas sebagai pemain terbaik Piala Dunia, Pemain Lelaki Terbaik FIFA September lalu dan anugerah Ballon d’Or sebagai pemain terbaik dunia awal bulan ini.

Dia menamatkan dominasi selama sedekad oleh Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi bagi anugerah pemain terbaik dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 1:01 PM