AFP

London: Jose Mourinho menegaskan beliau tidak boleh menyamai rekod bekas pengurus Manchester United, Alex Ferguson yang memenangi 13 kejuaraan Liga Perdana Inggeris selain menganggapnya sebagai sesuatu yang mustahil.

Bos Chelsea itu mengemudi Blues merangkul kejuaraan Inggeris Ahad lalu berikutan kemenangan 1-0 ke atas kelab pencabar London, Crystal Palace di laman sendiri.

Ia kali ketiga Mourinho, 52, yang kini bertugas kali kedua sebagai pengurus Chelsea, berjaya membawa kejuaraan Liga Perdana ke Stamford Bridge berikutan kejayaan 2004-05 dan 2005-06.

Ferguson berusia 51 tahun apabila mengemudi United menjuarai Liga Perdana kali pertama namun Mourinho, yang turut meraih kejayaan domestik di negara asalnya Portugal selain di Itali dan Sepanyol, menolak kemungkinan menyamai rekod pengendali dari Scotland yang sudah bersara itu.

“Masih jauh buat saya lagipun Sir Alex meninggalkan penanda aras yang mustahil dicapai mana-mana pengurus. Saya tidak boleh menang Liga Perdana 13 kali,” jelas Mourinho.

“Saya boleh menang 13 kejuaraan, saya boleh. Saya sudah ada lapan, saya fikir boleh mencapai angka 13. Tapi 13 Liga Perdana tidak mungkin,” katanya.

Selain tiga kejuaraan bersama Chelsea, Mourinho menikmati dua kejuaraan bersama FC Porto di Portugal, dua dengan Inter Milan di Itali dan satu bersama kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Sementara itu, kapten Chelsea, John Terry menyatakan kejuaraan pertama Liga Perdana buat kelab itu dalam tempoh lima tahun akan mencetus kejayaan era baru kelab barat London itu.

Bintang Chelsea itu yang akan menjulang trofi Liga Perdana bagi kali keempat pada 24 Mei ini, sudah menghabiskan sepanjang karier profesionalnya bersama Blues dan berada di padang bagi semua 35 perlawanan liga musim ini.

“Ini permulaan satu kelompok baru, era baru dan sudah tentu skuad semasa akan cuba memenangi lebih banyak trofi,” kata Terry.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 8:46 AM