Zulfaizan Mansor


KAULA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya tetap disambut bagaikan wira walaupun tidak berjaya membawa pulang Piala AFF 2018 selepas tumpas menerusi agregat 2-3 kepada Vietnam di pentas akhir, semalam.

Selain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lebih 200 penyokong turut hadir ke majlis sambutan menghargai Harimau Malaya di Dataran Merdeka, hari ini.

Malah, kumpulan penyokong tampak tidak berganjak walaupun hujan demi menghargai keringat dan pengorbanan pemain yang membawa Harimau Malaya ke final.

Semangat yang ditunjukkan penyokong setia Harimau Malaya itu turut mendapat pujian daripada Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi.

"Ini baru titik permulaan dalam perubahan pasukan bola sepak negara. Hari ini kita muncul naib juara dan kita akan berusaha untuk menjadi juara pada masa depan.

"Tapi ia memerlukan sokongan daripada seluruh penyokong dan kami sangat berterima kasih kepada anda semua yang sanggup berkorban demi Harimau Malaya.

"Bagi FAM, kami akan berusaha bagi meletakkan bola sepak negara ke tahap yang lebih tinggi," katanya ketika berucap di majlis itu.

Majlis itu turut diserikan dengan tayangan video membabitkan aksi Harimau Malaya, selain pemain turut menghargai sokongan penyokong dengan memberikan t-shirt dan poster Harimau Malaya kepada mereka.

Sementara itu, kapten pasukan Zaquan Adha Abd Radzak pula berharap Harimau Malaya dapat menebus kembali kekecewaan tahun ini pada Piala AFF 2020.

"Sepatutnya kami bawa pulang Piala AFF, tapi bukan rezeki kami. Insya-Allah pada 2020, jika masih diberi kesempatan (beraksi lagi), saya dan rakan sepasukan yang lain berharap Malaysia akan bawa pulang Piala AFF," katanya.   

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 10:29 PM
PEMAIN,  SAFAWI Rasid beramah mesra dengan penyokongdi Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
PEMAIN, SAFAWI Rasid beramah mesra dengan penyokongdi Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
SKUAD bola sepak Malaysia tiba bagi meraikan penghargaan kepada penyokong di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
SKUAD bola sepak Malaysia tiba bagi meraikan penghargaan kepada penyokong di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad