PEMAIN Al Ain meraikan kejayaan mereka mengalah Team Wellington. -Foto Reuters
PEMAIN Al Ain meraikan kejayaan mereka mengalah Team Wellington. -Foto Reuters
Reuters

AL AIN, Emiriah Arab Bersatu: Tuan rumah Al Ain bangkit daripada ketinggalan tiga gol sebelum seri 3-3 dengan Team Wellington dan menang 4-3 menerusi penentuan penalti pada pusingan pertama Piala Kelab Dunia, awal pagi tadi.

Penjaga gol Al Ain, Khalid Eisa menyelamatkan dua sepakan penalti bagi membantu pasukannya layak ke pusingan kedua menentang juara Afrika, Esperance dari Tunisia, Sabtu ini.

Team Wellington, juara Oceania, bermula cemerlang apabila Mario Barcia menjaringkan gol dari jarak jauh pada minit ke-11 dan Aaron Clapham menyudahkan hantaran menarik bagi gol kedua empat minit kemudian.

Al Ain kecewa apabila gol mereka pada minit ke-36 dibatalkan oleh pengadil bantuan video (VAR) kerana kekasaran dan lebih parah buat mereka, Mario Ilich menambah gol ketiga buat pasukan semi profesional itu pada minit ke-44, menampan masuk susulan sepakan sudut.

Namun kelab New Zealand itu membenarkan tuan rumah meraih gol pembakar semangat pada masa kecederaan babak pertama dengan Tsukasa Shiotani meledak masuk selepas kesilapan benteng pertahanan.

Jurulatih Al Ain, Zoran Mamic menyatakan ia jelas menjadi titik kebangkitan mereka.

“Sukar untuk bangkit, syukur kepada Tuhan kami meledak gol pada babak pertama. Gol itu memberikan kami semangat dan peluang untuk kembali mencabar pada babak kedua.”

Tongo Doubmia merapatkan jurang apabila dia merembat masuk hantaran silang empat minit selepas rehat dan Al Ain, yang layak sebagai pasukan juara tuan rumah, menguasai selepas itu.

Al Ain, yang beraksi di laman sendiri Stadium Hazza Bin Zayed, mendominasi babak kedua apabila Wellington mula keletihan dan pemain kebangsaan Sweden, Marcus Berg menyepak masuk gol penyamaan pada minit ke-85.

Berg terlepas sepakan penalti kedua Al Ain apabila merembat tinggi namun dia lega apabila Khalid menyelamatkan percubaan Angus Kilkolly dan Justin Gulley bagi memastikan kemenangan.

Pemenang pertembungan Sabtu ini antara Al Ain dan Esperance akan bertemu juara Amerika Selatan, River Plate pada separuh akhir, Selasa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 4:07 PM