HIGUAIN (kanan) bantu Napoli mara separuh akhir.
HIGUAIN (kanan) bantu Napoli mara separuh akhir.

Milan: Gonzalo Higuain menghukum kesilapan pertahanan Inter Milan untuk menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan dan membantu Napoli menang 1-0, sekali gus melangkah ke separuh akhir Piala Itali, awal pagi semalam.

Jurulatih Inter Roberto Mancini pernah mengemudi kejayaan Nerazzurri dari 2004-2008, membimbing mereka ke empat final Piala Itali dan menang dua ketika kali pertama mengendalikan pasukan itu.

Perlawanan itu kelihatan berlanjutan ke masa tambahan, namun pada minit ke-93, pemain kebangsaan Algeria, Faouzi Gholam, dalma perlawanan pertamanya buat Napoli sejak kembali dari Piala Negara Afrika, mendapati Higuain tidak dikawal di kiri dengan satu lontaran masuk dari jarak jauh.

Ia mengelirukan pertahanan Andrea Ranocchia dan kapten Inter itu hanya terpaku ketika Higuain mengatasinya sebelum menewaskan Juan Pablo Carrizo dengan satu jaringan menakjubkan ke penjuru gol lawan.

Napoli kini berdepan Lazio pada separuh akhir timbal balik dengan pemenang bertemu sama ada Juventus atau Fiorentina pada final 7 Jun ini.

Mancini enggan menyalahkan Ranocchia, namun mengkritik pemainnya, yang merudum ke tangga ke-13 Serie A Itali berikutan keputusan buruk.

“Hanya 30 saat sebelum ditamatkan, bagaimana boleh melepaskan gol sebegitu?” jelas pengendali dari Itali itu.

“Ia perlawanan yang hebat, tapi kami perlu menjaringkan gol bukan melepaskannya. Sebaliknya, setiap Ahad kami menghadiahkan gol kepada pasukan lain.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 9:30 AM