OUSMANE DEMBELE
OUSMANE DEMBELE
AFP

 

MADRID: Ousmane Dembele mempamerkan prestasi meyakinkan ketika Barcelona menewaskan Villarreal, awal pagi tadi untuk kembali ke kedudukan teratas La Liga.

Dembele yang digugurkan bulan lalu oleh jurulatih Ernesto Valverde, membuat penampilan kedua berturut-turut dan membalas kepercayaan dengan membuka laluan buat Gerard Pique menjaringkan gol pembukaan dalam perlawanan berkesudahan 2-0 di Camp Nou.

Carles Alena, pemain berusia 20 tahun Sepanyol yang dianggap bintang dalam pembikinan menyumbang gol kedua Barca selepas mendapat hantaran Lionel Messi yang juga jaringan pertamanya dalam La Liga.

“Alena membuktikan dia berhak berada dalam kesebelasan utama,” kata Valverde.

Kejayaan Barca meletakkan pasukan itu di kedudukan teratas liga di hadapan Sevilla dan Atletico Madrid yang terikat seri 1-1 bagi menjarakkan diri daripada Alaves dan Girona.

Sementara itu Villarreal kekal di tangga ke-17 sekali gus menambah tekanan buat jurulatihnya, Javier Calleja apabila pasukan itu hanya memperoleh satu kemenangan sejak September lalu.

Kesabaran Velverde terhadap Dembele yang berumur 21 tahun semakin menipis apabila dia menggugurkan pemain itu ketika menentang Real Betis tiga minggu lalu tetapi gol penyamaan ketika menentang Atletico melegakan pengurus itu dan prestasi awal pagi tadi memulihkan kembali kepercayaan Velverde terhadapnya.

“Dia bermain dengan bagus dan salah seorang pemain kami yang menyerlah,” kata Valverde. “Dia mempunyai banyak aset - rembatan, kelajuan, keyakinan dan berani. Kami berharap ia berterusan.”  

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 10:53 AM