HEWITT teruja beraksi bersama Australia. FOTO/AGENSI
HEWITT teruja beraksi bersama Australia. FOTO/AGENSI
AFP

SYDNEY: Australia akan cuba melayakkan diri ke Piala Davis dengan format baharu yang dibantah mereka dengan menentang Bosnia Herzegovina di Adelaide pada Februari ini.

Di bawah format baharu yang penuh kontroversi oleh Persekutuan Tenis Antarabangsa dengan kumpulan pelaburan yang diketuai pemain bola sepak Barcelona, Gerard Pique, pertandingan itu akan diputuskan dalam satu minggu penghujung musim membabitkan 18 pasukan. Ia akan diadakan di Madrid pada November.

Enam pasukan sudah disahkan kedudukan dengan Australia – negara kedua paling berjaya di Piala Davis di belakang Amerika Syarikat – perlu melayakkan diri.

Format baharu itu menyaksikan mereka akan bermain menentang Bosnia dalam pertandingan tiga set terbaik – berbanding pertandingan lima set sebelum ini – pada 1 dan 2 Februari, dengan dua pemain perseorangan pada hari pertama dan beregu serta perseorangan (bertukar lawan) pada hari kedua.  

“Ia pastinya hebat dapat kembali ke bandar asal saya dan melihat Adelaide menganjurkan acara ini pada Februari,” kata kapten Australia Lleyton Hewitt, yang sebelum ini mengkritik format baru Piala Davis yang dikatakan mahu mendapatkan duit sekali gus merosakkan acara bersejarah itu.

Dia antara empat generasi kapten dan pemain Australia di Piala Davis, termasuk Rod Laver dan John Newcombe yang bergabung tahun ini menentang pembaharuan itu.

Piala Davis sebelum ini disertai 16 negara di peringkat Kumpulan Dunia, bersaing dalam tempoh empat minggu dalam tahun itu. Negara-negara yang tinggal kemudian dibahagikan mengikut tiga zon benua. 

Kali terakhir Adelaide menganjurkan Piala Davis adalah pada tahun 2004, dengan Australia ditewaskan Sweden 4-1 dalam perlawanan pertama Kumpuan Dunia, yang turut menyaksikan Hewitt bermain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 12:20 PM