AFP

PARIS: Harapan Australia untuk layak ke final Piala Davis pertama dalam tempoh 14 tahun musnah apabila Belgium bangkit daripada defisit semalaman untuk memenangi pertembungan separuh akhir mereka 3-2 dan menempah tiket final menentang pasukan jiran, Perancis.

Steve Darcis (gambar), pemain nombor 77 dunia berusia 33 tahun, menangani perasaan gemuruh pada aksi penentuan di Brussels, menang 6-4, 7-5, 6-2 ke atas Jordan Thompson, yang dipanggil pada saat akhir oleh kapten Australia, Lleyton Hewitt untuk menggantikan John Millman.

David Goffin terdahulu menyamakan kedudukan pada aksi separuh akhir lewat malam tadi dengan bangkit menewaskan Nick Kyrgios 6-7 (4/7), 6-4, 6-4, 6-4, meraih kemenangan ke-15 dalam 16 aksi perseorangan Piala Davis.

Juara sembilan kali Perancis layak ke final apabila menyingkirkan Serbia 3-1 di Lille dan akan menjadi tuan rumah kepada Belgium pada perlawanan akhir dari 24 hingga 26 November depan.

Perancis menang Piala Davis terakhir mereka pada 2001 sebelum tumpas pada final 2002, 2010 dan 2014. Belgium mara ke final pada 2015 sebelum kecundang di tangan Britain.

Darcis menang perlawanan Piala Davis ke-22 namun Goffin mencetus kebangkitan iu selepas menang kedua-dua perlawanan perseorangannya menentang Australia yang kali terakhir muncul juara pada 2003. Australia pernah menang 28 kali.

“Apabila David Goffin bermain sebegitu, dia seorang daripada pemain terbaik di dunia,” kata Kyrgios, yang kini memegang rekod tujuh kemenangan dan dua kekalahan dalam kejohanan itu.

“Saya boleh bertindak lebih baik tapi hari ini dia terlalu bagus.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 2:10 PM