LLEYTON HEWITT
LLEYTON HEWITT

SYDNEY: Kapten skuad Piala Davis Australia, Lleyton Hewitt membidas bintang bola sepak Barcelona, Gerard Pique berhubung kontroversi membabitkan format baharu kejohanan berkenaan, apabila menyifatkannya sebagai tidak masuk akal dan bakal memberi impak negatif terhadap sukan tenis.

Di bawah format baharu yang dicadangkan syarikat pelaburan diketuai Pique, Kosmos dan diterima pakai Persekutuan Tenis Antarabangsa, kejohanan itu akan diputuskan dalam satu minggu pada penghujung musim membabitkan 18 pasukan.

Piala Davis yang berusia 119 tahun ini sebelum ini disertai 16 negara di peringkat Kumpulan Dunia, bersaing dalam tempoh empat minggu dalam tahun itu.

Negara-negara yang tinggal kemudian dibahagikan mengikut tiga zon benua. 

“Saya sudah tidak menyokong sejak kali pertama format diubah,” kata Hewitt menjelang pusingan kelayakan Piala Davis menentang Bosnia Herzegovina di Adelaide, bermula Jumaat ini.

“Saya fikir ia akan menjejaskan Piala Davis...daripada aspek struktur dan format saya tidak bersetuju langsung.

“Saya fikir mengadakan pusingan akhir di satu tempat adalah tidak masuk akal. Secara peribadi saya tidak fikir semua pemain utama akan beraksi.

“Kini, kami diuruskan oleh pemain bola sepak Sepanyol...ia seperti saya datang meminta format Liga Juara-Juara ditukar, ia tidak masuk akal.”

Selain Hewitt, ramai lagi legenda tenis dunia tidak bersetuju dengan perubahan format kejohanan itu termasuk Rod Laver  dan John Newcombe.

Kosmos menjanjikan kepada Persekutuan Tenis Antarabangsa hadiah wang tunai sehingga AS$3 bilion (RM12.3 bilion) untuk suku abad akan datang. – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 11:38 AM