Jedvaj meraikan jaringannya ketika berdepan Sepanyol. -Foto AFP
Jedvaj meraikan jaringannya ketika berdepan Sepanyol. -Foto AFP
Reuters

ZAGREB: Croatia menghidupkan kembali peluang untuk mara ke pusingan akhir Liga Negara-Negara Eropah selepas melakar kemenangan 3-2 ke atas Sepanyol dalam saingan Kumpulan 4, awal pagi tadi.

Pemain pertahanan kiri Croatia, Tin Jedvaj muncul wira apabila meledak gol kemenangan menerusi jaringan yang dihasilkannya pada masa kecederaan.

Sepanyol bagaimanapun kekal di tangga teratas kumpulan dengan enam mata selepas empat perlawanan tetapi nasib mereka bergantung kepada perlawanan antara England dengan Croatia di Wembley, Ahad ini.

England dan Croatia masing-masing mengumpul empat mata selepas mengharungi tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Pemenang dalam perlawanan itu akan menamatkan saingan sebagai juara kumpulan dan melangkah ke final 2019 manakala sekiranya seri Sepanyol akan kekal di tangga teratas.

“Saya perlu mengucapkan tahniah kepada semua pemain. Ia perlawanan menakjubkan dengan lima gol terhasil. Kami bermain dengan baik dan kami berhak dengan kemenangan ini.

“Kami memang mahu menang perlawanan ini dan aksi terakhir bertemu England bagi menentukan siapa juara kumpulan. Kemenangan ini memberi suntikan semangat kepada kami,” kata jurulatih Croatia, Zlatko Dalic.

Terdahulu, penyerang Croatia, Andrej Kramatic membuka tirai jaringan buat tuan rumah pada minit ke-56 sebelum Dani Ceballos menyamakan kedudukan untuk Sepanyol dua minit kemudian.

Jedvaj meletakkan Croatia kembali di depan apabila menanduk masuk gol minit ke-69 sebelum Sergio Ramos menyempurnakan sepakan penalti yang diperoleh minit ke-78 bagi kembali menyamakan kedudukan buat Sepanyol.

Bagaimanapun, Jedvaj memastikan kemenangan buat Croatia apabila meledak gol kemenangan minit ke-93 – gol keduanya di pentas antarabangsa.

“Ia perlawanan yang sukar. Kami sedar kami perlu bermain untuk menang dan kami berjaya membuktikan betapa kekalahan buruk di Sepanyol sebelum ini hanyalah hari malang buat kami.

“Kami mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan dan kini kami akan bertemu England. Ia akan menjadi satu lagi perlawanan sukar tetapi kami akan cuba untuk menang,” kata Jedvaj.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 9:46 AM