PENJAGA gol Inter Milan, Ionut Radu memberikan gol mudah kepada Bologna. FOTO Reuters
PENJAGA gol Inter Milan, Ionut Radu memberikan gol mudah kepada Bologna. FOTO Reuters
Reuters

Bologna: Kesilapan mudah penjaga gol gantian Inter Milan, Ionut Radu menyebabkan pasukannya tewas 1-2 di Bologna, hari ini, dan anak buah Simone Inzaghi itu terlepas peluang menduduki tangga teratas Serie A.

Perlawanan itu sepatutnya diadakan pada Januari lalu, tetapi ditangguhkan akibat ramai pemain Bologna dijangkiti Covid-19.

Inter yang juga juara bertahan sedar kemenangan pada kelebihan satu perlawanan berbanding AC Milan itu akan menyaksikan mereka melonjak ke tangga teratas Serie A dan mereka tidak membuang masa apabila penyerang Croatia, Ivan Perisic menjaringkan gol pada minit ketiga.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah cepat bertindak balas dan menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi tandukan Marko Arnautovic, yang juga gol keempat pemain antarabangsa Austria itu dalam tiga penampilan.

Peluang datang dan dilepaskan Inter pada ketika mereka hampir mendahului semula sebelum Radu, yang menggantikan tempat kapten, Samir Handanovic yang tidak bermain kerana sakit belakang, gagal menyepak bola sembilan minit sebelum wisel penamat, sekali gus membolehkan Nicola Sansone menjaringkan gol kemenangan mudah.

Kekalahan pertama buat Inter dalam 12 perlawanan di semua kejohanan itu menyaksikan mereka mengumpul 72 mata daripada 34 perlawanan, dua mata di belakang Milan di tangga teratas manakala Bologna kekal di tempat ke-13 dengan 42 mata.

Ahad lalu, jaringan Sandro Tonali pada masa kecederaan mengesahkan kemenangan ke atas Lazio dan memastikan Milan di tangga teratas, tetapi Inter, yang tampil dengan empat kemenangan liga berturut-turut dijangka menang mudah untuk memintas semula.

Pada ketika aksi di Bologna menghampiri penghujung, Inter dijangka mampu menang sebelum kesilapan besar dilakukan Radu yang gagal menyepak bola pada ketika tiada sesiapa berhampirannya dan membolehkan Sansone menolak gol mudah.

"Ia sungguh pahit, ia perasaan biasa dalam kes seperti ini," kata Inzaghi kepada DAZN.

"Kini kami tidak lagi boleh menentukan nasib sendiri, kami perlu menang semua baki perlawanan dan lihat apa yang dilakukan Milan.

"Radu bermain menentang Empoli (Januari lalu) dan sentiasa berlatih dengan baik. Jika penyerang atau pemain pertahanan membuat silap, kita kurang bercakap mengenainya."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 8:11 AM