ZAQHWAN belum berpuas hati dengan keputusan di Sirkit Suzuka. FOTO/NSTP
ZAQHWAN belum berpuas hati dengan keputusan di Sirkit Suzuka. FOTO/NSTP
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Pelumba tunggal negara pada Kejuaraan Seluruh Jepun (AJRRC), Zaqhwan Zaidi menutup tirai musim pertamanya di negara Matahari Terbit itu dengan berada di tangga ke-17 daripada 36 pelumba keseluruhan dalam kelas perdana, JSB1000.

Zaqhwan yang mewakili pasukan Honda Asia-Dream dan menggunakan jentera Honda CBR 1000 RR SP 2 itu menamatkan pusingan kesembilan di Sirkit Suzuka, 4 November lalu dengan jumlah kutipan keseluruhan 60 mata.

Pelumba berusia 23 tahun itu mengumpul tujuh mata berharga di Suzuka menerusi penamat di tempat ke-17 pada Perlumbaan 1 sebelum terjatuh di Perlumbaan 2 yang menyaksikan dirinya tidak menamatkan saingan.

"Sekiranya berdasarkan keputusan, saya masih belum berpuas hati apatah lagi ini tahun pertama di sini," kata Zaqhwan. "Agak bergelut dengan jentera dan juga trek.

"Namun pada setiap perlumbaan, saya ada menunjukkan peningkatan. Apapun, ia masih belum mencukupi dan tahun depan saya akan kembali dengan lebih kuat lagi."

Susulan terjatuh pada Perlumbaan 2 itu, Zaqhwan mengalami retak di bahagian tangan namun yakin mampu pulih sebelum perlumbaan akhir Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Sirkit Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand, 30 November hingga 2 Disember ini.

Untuk saingan peringkat Asia, Zaqhwan ketika ini berada di tangga kelima keseluruhan dalam kelas SuperSports 600cc dengan 94 mata, ketinggalan 42 mata di belakang pendahulu dari Australia, Anthony West.

Rakan senegara, Azlan Shah Kamaruzaman berada di tangga kedua dengan 102 mata manakala dua wakil Indonesia, Andi Farid Izdihar dan Ahmad Yudhistira masing-masing berkongsi 99 mata untuk menduduki tangga ketiga dan keempat.

"Saya hanya fokus untuk memburu kemenangan dan tak mahu terlalu memikirkan soal mata kejuaraan (keseluruhan). Masih ada peluang untuk bergelar juara keseluruhan dan mata (antara kelompok lima terbaik) tidak begitu jauh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 5:34 PM