ZAQHWAN ZAIDI
ZAQHWAN ZAIDI
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Pelumba negara di Kejuaraan Motosikal Seluruh Jepun (AJRRC), Zaqhwan Zaidi meraih petak perlumbaan terbaiknya di Pusingan 6 yang berlangsung di litar Motegi, hari ini.

Zaqhwan yang beraksi dalam kelas utama JSB1000 menamatkan sesi kelayakan di tempat ke-10 sekali gus bakal memulakan perlumbaan esok dari barisan keempat - yang terbaik baginya selepas muncul selaku pelumba negara pertama berlumba secara sepenuh musim di AJRRC, April lalu.

Pelumba pasukan Honda Asia-Dream Racing itu mencatat masa terbaiknya, 1 minit 50.688 saat manakala petak hadapan disambar Nodai Shinkanken (Yamaha Factory Racing#5), 1'49.082s.

“Sesi kelayakan agak memuaskan kerana sejak semalam, kami sudah meletakkan sasaran yang diinginkan,” kata Zaqhwan.

“Saya akan memberi sepenuh tumpuan kepada permulaan perlumbaan esok dan cuba menamatkan perlumbaan di dalam kelompok 10 terbaik.”

Setakat ini Zaqhwan berada di tangga ke-18 dalam kelas perdana itu dengan mengumpul 35 mata.

Pelumba berusia 23 tahun itu berkongsi mata dengan Tatsuya Yamaguchi dari pasukan Team SuP Dream Honda yang bakal memulakan perlumbaan dari petak ke-16.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 8:28 PM