ZAQHWAN akui semua pelumba punyai peluang sama rata.
ZAQHWAN akui semua pelumba punyai peluang sama rata.
Sukhairi Thani


JUARA bertahan kelas elit Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Zaqhwan Zaidi mengakui betapa empat pesaing dalam kelompok lima terbaik bakal menyajikan laluan sukar untuknya mempertahankan gelaran musim ini.

Pusingan kemuncak ARRC dijadual berlangsung di Litar Buriram, Thailand pada 2 hingga 3 Disember ini dan berdasarkan rekod pada pusingan kedua April lalu, sirkit berkenaan juga diakui tidak memihak kepada jentera Honda ditunggangnya.

Litar sepanjang 4.554 kilometer (km) itu dianggap Zaqhwan lebih memihak kepada jentera Yamaha dan Kawasaki - dua jenis pengeluar motosikal yang digunakan pesaing terdekatnya Yuki Ito (Yamaha), Azlan Shah Kamaruzaman dan Ahmad Yudhistira (Kawasaki).

Malah, Azlan pada pusingan kedua April lalu turut mendominasi kedua-dua perlumbaan dengan muncul pemenang di sana sekali gus memperkuatkan lagi tangggapan awal pelumba MUSASHi Boon Siew Honda Racing itu mengenai cabaran sukar di Buriram.

“Persaingan kali ini terlalu terbuka untuk kelompok lima teratas,” kata Zaqhwan yang juga bekas pelumba dalam kelas Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia 2015.

“Semua pelumba terdekat ini mempunyai peluang sama rata. Kalau diikutkan, saya kena menjadi lebih baik lagi nanti sebab di Thailand, kelebihan itu memihak kepada Yamaha dan Kawasaki.

“Honda agak susah sikit kerana seperti jentera digunakan Azlan, dia mempunyai kelebihan di sana terutamanya di laluan lurus.

“Apa yang penting untuk perlumbaan kali ini, saya perlu mengatur strategi sama ada perlu mengatasi mereka di perlumbaan pertama (menang) dan untuk (perlumbaan) yang kedua juga mencari penamat di podium (kedua atau ketiga) atau sebaliknya.”

Zaqhwan kini mendahului kelas SuperSports 600cc dengan 138 mata manakala dua pelumba Jepun, Ito dan Taiga Hada pula berkongsi 134 mata di tangga kedua dan ketiga.

Azlan pula berada di tangga keempat dengan 128 mata - 10 mata ketinggalan di belakang Zaqhwan - manakala rakan sepasukannya, Ahmad Yudhistira kelima dengan 110 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 8:27 PM