KLOPP menegaskan skuadnya sudah cukup ketika ini. FOTO/AGENSI
KLOPP menegaskan skuadnya sudah cukup ketika ini. FOTO/AGENSI
Agensi

LONDON: Jurgen Klopp berkata ‘tiada alasan’ untuk Liverpool melaksanakan perkara yang benar-benar besar ketika jendela perpindahan pemain pada Januari depan.

Reds mengharungi tempoh yang produktif ketika perpindahan musim panas lalu dengan membawa masuk Naby Keita, Fabinho, Xherdan Shaqiri dan Alisson ke Anfield.

Pembelian baharu itu membantu Liverpool mengharungi permulaan baik pada kempen musim 2018-19, dengan skuad kendalian Klopp berkongsi tangga teratas Liga Perdana Inggeris menuju perlawanan pada minggu ini.

Ketika ditanya adalah dia sedang meneliti untuk menguatkan pasukannya pada Januari ini, Klopp berkata: “Saya tidak fikir ada sebarang alasan untuk cuba melakukan sesuatu yang amat besar, seperti membawa masuk seorang lagi penyerang.

“Ketika ini, sejujur-jujurnya tidak nampak seperti yang kami akan menjadi begitu sibuk. Tetapi ia bergantung kepada kecederaan dan perkara seperti itu.

“Jika sesuatu terjadi (dalam skuad) kami mungkin perlu berfikir sesuatu, tetapi ketika ini kami mempunyai semua yang kami perlukan.”

Liverpool akan berdepan Arsenal, awal pagi esok dengan skuad kendalian Unai Emery itu sedang mengharungi tempoh yang menakjubkan, selepas Gunners memenangi 11 perlawanan berturut-turut sebelum diikat Crystal Palace minggu lalu.

Jadi, Klopp menegaskan Emery yang pernah mengendalikan Sevilla - pasukan yang menewaskannya di final Liga Europa - sebagai pengurus yang mengagumkan.

“Semua orang dalam dunia bola sepak tahu betapa bagusnya beliau tetapi saya tidak pasti semua peminat Arsenal teruja apabila mereka mendengar ia adalah Emery,” kata Klopp.

“Tetapi itulah England, kamu mahukan budak poster. Unai berada di Perancis dan sebelum ini di Sepanyol bersama kelab lebih kecil, jadi kamu boleh berada di luar radar. 

“Saya baru melihat semalam yang dia memenangi lapan gelaran dalam tempoh dua atau tiga tahun. Ia sesuatu yang besar.”

Emery dalam pada itu berkata beliau berharap pertembungan dengan Liverpool dapat mencipta satu sejarah baharu buat Arsenal.

“Kami mahu menulis sejarah baharu... Saya percaya dengan pemain saya dan projek ini. Keputusan amat penting, tetapi pertama sekali kami mahu menunjukkan kepada mereka, kepada kami dan kepada semua orang mengenai mentaliti kami dalam permainan.

“Jika kami memiliki mentaliti yang besar dalam permainan dan prestasi yang hebat secara individu dan berpasukan, dan juga sedikit tuah, saya fikir kami boleh menang.”

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 11:34 AM