CHAMBERLAIN mula berlatih. FOTO/AGENSI
CHAMBERLAIN mula berlatih. FOTO/AGENSI
Reuters

LONDON: Juergen Klopp mengesahkan Alex Oxlade-Chamberlain pulih lebih cepat daripada yang dijadualkan dan berpeluang kembali menjalani latihan seawal Februari depan.

Oxlade-Chamberlain mengalami kecederaan ligamen selepas dikasari pemain AS Roma ketika aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara musim lalu di Anfield pada April.

Pemain berusia 25 tahun itu menjalani pembedahan lapan hari kemudian dan dijangka terlepas keseluruhan kempen musim 2018-19 tetapi peminat Liverpool memperoleh khabar gembira apabila gambar pemain tengah England itu berlari di pusat latihan tersebar.

“Berita terbaik,” kata Klopp. “Dia sudah mula turun ke padang dan daripada langkah pertamanya dia nampak cukup normal. Kadang kala apabila pemain kembali daripada kecederaan dan mula berlari, kamu lihat mereka sedikit kekok, tetapi itu bukan gambaran di minda kamu.

“Dengan Ox, daripada langkah pertama, ia nampak seperti Ox. Tiada tekanan terhadapnya, tetapi nampaknya mungkin pada Februari dia akan kembali menjalani latihan yang normal, lewat Februari, Mac, jadi ia memberikan kamu harapan dia akan kembali musim ini.”

Liverpool akan menanti kunjungan Arsenal, esok dalam usaha mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen Liga Perdana Inggeris selain kelebihan enam mata di puncak liga.

Ketika sidang media, pengurus Arsenal Unai Emery berkata Liverpool mempunyai segala kualiti untuk menyamai pencapaian tanpa kalah Gunners pada kempen 2003-04 dan menjulang kejuaraan.

Ketika ditanya reaksinya mengenai komen rakan setugasnya itu, Klopp berkata: “Itu bukan Unai Emery yang saya kenal. Mereka tidak akan mengibarkan bendera putih. Ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Kami hanya fokus terhadap diri kami.” 

Arsenal yang menghuni tangga kelima liga menjadi pasukan terakhir mencuri mata daripada Liverpool selepas mengikat Reds 1-1 di Emirates bulan lalu tetapi sejak itu, mereka melepaskan tujuh mata daripada tiga perlawanan di gelanggang lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 1:24 AM