Hayati Ibrahim dan Mohd Husni Mohd Noor


KERAJAAN memperuntukkan RM297 bilion untuk Belanjawan 2020, tidak termasuk simpanan luar jangka berjumlah RM2 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia adalah peningkatan RM19.5 bilion berbanding RM277.5 bilion tahun lalu tanpa mengambil kira peruntukan secara ‘one-off’ bagi bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan tertunggak.

Katanya, peruntukan ini termasuk RM241 bilion untuk perbelanjaan mengurus, manakala bakinya RM56 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

“Walaupun mewarisi bebanan hutang dan liabiliti melebihi RM1.1 trilion, namun Kerajaan tetap komited untuk melaksanakan langkah konsolidasi fiskal secara berperingkat.

“Pada 2018, Kerajaan mencatatkan defisit fiskal sebanyak 3.7 peratus dan berada di landasan betul bagi mencapai sasaran defisit 3.4 peratus pada 2019,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 yang bertemakan Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Lim berkata, ketika pembentangan Belanjawan tahun lalu, Kerajaan mengumumkan sasaran defisit tiga peratus untuk 2020.

Bagaimanapun, beliau berkata, berikutan peningkatan risiko kelembapan ekonomi dunia dan perbelanjaan luar jangka untuk menyelamatkan institusi bermasalah yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu memerlukan langkah tindakan fiskal awal.

“Demi memastikan ekonomi terus bertumbuh, Kerajaan kini mensasarkan defisit sebanyak 3.2 peratus pada 2020.

“Kerajaan menjangkakan defisit fiskal akan menguncup secara purata 2.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam jangka masa sederhana,” katanya.

Beliau berkata, di atas kepercayaan yang dibina antara Perdana Menteri dengan Kerajaan Jepun, melalui Japan Bank for International Cooperation (JBIC), sekali lagi menawarkan jaminan tambahan bon Samurai dengan kadar kupon kurang daripada 0.5 peratus berbanding kadar terdahulu sebanyak 0.63 peratus.

Lim berkata, Kerajaan Persekutuan bercadang untuk menerbitkan bon Samurai awal tahun depan, yang mana saiznya akan ditentukan selepas perbincangan lanjut dengan JBIC.

Beliau berkata, Kerajaan juga merakamkan penghargaan dan tahniah kepada rakyat yang menyumbang RM203 juta kepada Tabung Harapan Malaysia, yang akan digunakan untuk membiayai sebahagian bayaran balik pinjaman yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.

“Bagi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International, sejumlah RM2.4 bilion perlu disediakan untuk melunaskan bayaran khidmat hutang bagi 2019 dan RM2.7 bilion untuk 2020,” katanya.

Katanya, hasil Kerajaan dijangka mencecah RM244.5 bilion pada 2020 iaitu peningkatan sebanyak RM11.2 bilion berbanding 2019, tanpa mengambil kira dividen khas PETRONAS sebanyak RM30 bilion.

Lim berkata, Belanjawan 2020 berorientasikan pertumbuhan, dengan langkah-langkah perancang yang dirangka bagi mengoptimumkan impak ke atas pertumbuhan ekonomi, penjanaan peluang pekerjaan dan perubahan struktur tanpa

menjejaskan komitmen Kerajaan untuk memulihkan keadaan fiskal dalam jangka sederhana.

“Belanjawan yang dibentangkan hari ini sudah mengambil kira semua cabaran termasuk keperluan untuk mengadakan libat urus yang membina bersama dengan dialog terbuka,” katanya.

Intipati Belanjawan 2020:

  • Bantuan Sara Hidup
  • Gaji minimum di bandar utama
  • Peruntukan untuk TVET
  • Insentif pengangkutan
  • e-sukan diiktiraf
  • Elaun khas bomba
  • Bantu institusi, usahawan Bumiputera
  • Peruntukan untuk i-Suri
  • Sukan untuk semua
  • Kementerian Pendidikan terima peruntukan terbesar
  • Berita baik buat penjawat awam
  • Bantu warga emas
  • #MalaysiaKerja
  • Skim Perumahan Belia
  • Subsidi Petrol
  • Pembangunan 5G, digital
  • Peruntukan akses kesihatan rakyat
  • Cukai Perkhidmatan Digital
  • Peruntukan tangani jerebu, pencemaran
  • ’Goodies’ untuk Sabah, Sarawak
  • SPRM tambah kakitangan


  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020



    Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 7:32 PM
    KAKITANGAN Dewan Undangan Negeri Sabah, Hamidzah Hamid, 38, menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2020 selepas pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen. FOTO Aizuddin Saad
    KAKITANGAN Dewan Undangan Negeri Sabah, Hamidzah Hamid, 38, menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2020 selepas pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen. FOTO Aizuddin Saad
    PENIAGA (dari kiri) Mek Ibrahim, 57; Rohani Deraman, 54; Fatin Ayuni Ramli, 24; Asmidar Ramli, 25; dan Nurul Farhana Mohd Hadi, 23, menonton siaran langsung Belanjawan 2020 di Pasar Besar Siti Khatijah, Kota Bharu. FOTO Fathil Asri
    PENIAGA (dari kiri) Mek Ibrahim, 57; Rohani Deraman, 54; Fatin Ayuni Ramli, 24; Asmidar Ramli, 25; dan Nurul Farhana Mohd Hadi, 23, menonton siaran langsung Belanjawan 2020 di Pasar Besar Siti Khatijah, Kota Bharu. FOTO Fathil Asri