PELUMBA pasukan IDEMITSU Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi. FOTO FB MotoGP Mania Malaysia
PELUMBA pasukan IDEMITSU Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi. FOTO FB MotoGP Mania Malaysia
Sukhairi Thani

 

PENGURUS pasukan IDEMITSU Honda Team Asia, Hiroshi Aoyama gembira dengan kutipan mata sulung diraih pelumbanya, Khairul Idham Pawi di Grand Prix (GP) Perancis, Ahad lalu.

Aoyama turut menggambarkan Khairul Idham yang menamatkan perlumbaan di tangga ke-18 di GP Sepanyol awal bulan ini mampu membawa momentum diperlukan sebelum meraih mata sulungnya untuk musim ini di litar Le Mans.

Khairul Idham yang memasuki tahun keduanya dalam kelas Moto2 melengkapkan 25 pusingan perlumbaan dengan berada di tangga ke-15 (satu mata) di Le Mans - penamat terbaiknya selepas lima pusingan musim 2018 berlangsung setakat ini.

“Dia mengekalkan momentum yang baik seperti dimilikinya di Jerez (GP Sepanyol),” kata Aoyama. “Keputusan diraihnya adalah positif buat dirinya dan pasukan, jadi saya sangat gembira.”

Dengan satu mata berharga itu, Khairul Idham, 20, kini berada di tangga ke-25 keseluruhan daripada 38 pelumba Moto2. Rakan sepasukannya, Tetsuta Nagashima pula berada di tangga ke-24 dengan tiga mata.

Pusingan keenam dijadual berlangsung di GP Itali pada 3 Jun ini di litar Autodromo del Mugello.

“Terima kasih atas usaha keras dilakukan pasukan yang akhirnya membuahkan mata kejuaraan pertama saya untuk tahun ini,” kata Khairul Idham.

“Kami akan mengekalkan kerja gigih ini untuk perlumbaan seterusnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 4:02 PM