HASNUL (pegang piala) bergambar dengan Piala Malaysia dan penyokong Perak ketika tiba di Stadium Perak, Ipoh. FOTO/MUHAIZAN YAHYA
HASNUL (pegang piala) bergambar dengan Piala Malaysia dan penyokong Perak ketika tiba di Stadium Perak, Ipoh. FOTO/MUHAIZAN YAHYA
Azizan Hashim


IPOH: Maafkanlah beliau! Begitulah pandangan seorang ahli majlis Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Mahadee Ramlee berikutan kritikan dan kecaman hebat orang ramai terhadap presiden persatuan itu, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim terhadap caranya mengendali trofi Piala Malaysia.

“Sudahlah. Maafkanlah beliau. Beliau sudah meminta maaf. Walaupun apa yang dilakukannya mungkin tak betul dan tak boleh diterima umum tapi kita terimalah penjelasan yang diberikan,” kata Mahadee di sini hari ini.

Hasnul diasak dengan kecaman hebat netizen termasuk dari luar Perak kerana layanan buruk terhadap trofi unggul itu.

Tindakannya mengepit piala itu di celah kangkang ketika berehat di tepi kolam renang seperti tular di media sosial menyemarakkan lagi kemarahan banyak pihak.

Netizen juga marah berikutan sambutan hambar kepulangan Piala Malaysia ke Ipoh, Ahad lalu apabila tidak ramai pemain berada dalam bas pasukan, manakala seramai 100 peminat menunggu di Stadium Perak ketika itu, selain tindakan Hasnul mengusung trofi ke merata tempat tanpa mengira keadaan turut mengundang kecaman.

Berikutan itu, ada pihak mendesak Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Koperasi Negeri itu meletak jawatan dengan gesaan itu turut dilontarkan dalam Facebook rasminya.

Mahadee yang juga seorang guru meminta semua pihak bertenang dan tidak terbawa-bawa dengan emosi hanya kerana tindakan itu, selain bimbang mungkin ada anasir luar mengambil kesempatan ‘menyimbah minyak ke dalam api’ untuk mengeruhkan lagi keadaan.

“Bawa bertenang. Jangan ikut perasaan sangat. Takkanlah kerana itu hendak suruh beliau letak jawatan,” katanya.

“Sudahlah jangan rosakkan kejayaan merangkul piala selepas 18 tahun ini. Kejayaan ini adalah hasil usaha semua. Kita berhak meraikannya bersama. Ketepikan sebarang sentimen. Ayuh raikan kemenangan ini bersama-sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 6:19 PM