Farah Suhaidah Othman


PENYOKONG The Bos Gaurus (TBG) menggesa Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim meletakkan jawatan susulan cara beliau 'menghargai' trofi Piala Malaysia.

Penasihat Yellow Mobs yang mewakili penyokong TBG, Mohd Jeffery Amin Abd Hamid berkata, tindakan Presiden PAFA yang meletakkan trofi itu di celah kangkangnya dan di atas meja makan menjatuhkan prestij piala berkenaan.

Justeru, katanya, penyokong Perak termasuk beberapa persatuan penyokong bola sepak negeri menggesa Hasnul Zulkarnain mengundur diri daripada pengurusan PAFA dan meletakkan jawatan.

“Trofi itu piala keramat. Satu Malaysia tahu keunggulannya. Tapi, tindakannya (Hasnul Zulkarnain) itu memalukan sekali gus mencemarkan ‘kesucian’ piala berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada kempen menandatangani petisyen dalam kalangan penyokong Perak bagi meminta Presiden PAFA meletakkan jawatan di Pasar Karat Ipoh, Jalan Horley, Ipoh, ini.

Tinjauan NSTP di pasar berkenaan mendapati penyokong Perak mula menandatangani petisyen bagi menggesa peletakan jawatan Hasnul Zulkarnain yang juga EXCO kerajaan negeri itu.

Mohd Jefferey berkata, selain menandatangani petisyen berkenaan, pihaknya turut mengadakan kempen secara atas talian.

“Setakat ini, lebih 2,000 penyokong Perak sudah menandatangani petisyen itu secara atas talian yang akan berakhir tengah malam nanti manakala kempen di Pasar Karat ini berakhir pada jam 12 tengah hari.

“Semua tandatangan ini akan diserahkan ke pejabat PAFA, Isnin ini,” katanya.

Beliau berkata, Presiden PAFA yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong itu sepatutnya mengadakan perarakan Piala Malaysia bersama pemain kerana mereka yang bertungkus-lumus memenangi piala berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, tindakan Hasnul Zulkarnain yang mengendalikan piala berkenaan secara peribadi termasuk berarak di Parit Buntar dilakukan seperti trofi itu hak milik persendirian.

“Kali terakhir, kita memenangi Piala Malaysia 18 tahun lalu dan trofi itu diletakkan di kediaman Menteri Besar sekali gus membolehkan penyokong Perak datang untuk melihat sendiri piala keramat itu.

“Sekiranya Hasnul (Zulkarnain) enggan berbuat demikian (meletakkan jawatan), saya pasti rakyat pasti marah, namun terpulang kepada etika dirinya sendiri sama ada malu dengan tindakan itu atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, penyokong Perak tidak berhasrat untuk mencampur-adukkan kepentingan rakyat dan politik kerana kemenangan trofi itu harus dikongsi bersama rakyat.

Katanya sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bahawa tuntutan dan serangan dihadapi Presiden PAFA untuk meletakkan jawatan berunsurkan agenda politik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 7:05 PM
PENYOKONG Perak berkumpul menandatangani petisyen menuntut  Hasnul Zulkarnain meletak jawatan di perkarangan Stadium Perak di Ipoh, hari ini. FOTO Effendy Rashid
PENYOKONG Perak berkumpul menandatangani petisyen menuntut Hasnul Zulkarnain meletak jawatan di perkarangan Stadium Perak di Ipoh, hari ini. FOTO Effendy Rashid