GEORGINIO WIJNALDUM
GEORGINIO WIJNALDUM
Agensi

LONDON: Georginio Wijnaldum mengakui bos Liverpool, Jurgen Klopp begitu tegas dalam memperbaiki kualiti permainannya, namun faktor itulah yang menjadikan dia kini sebagai pemain yang semakin baik.

Wijnaldum menyertai skuad The Reds dari Newcastle pada musim panas 2016 dengan yuran 25 juta pound (RM133.8 juta), dan kini semakin mengukuhkan kedudukan sebagai pemain pilihan utama Klopp.

Sebelum ini, bintang Belanda itu boleh memilih menyertai Tottenham, namun berkata dia membuat pilihan tepat untuk ke Liverpool dan memberi pujian kepada Klopp yang mengubahnya.

“Saya banyak membesar sebagai pemain di sini,” kata Wijnaldum. “Jangkaan begitu tinggi di kelab sebesar ini dan ia membuatkan anda lebih bersemangat untuk menjadi lebih baik.

“Saya tidak boleh bercakap mengenai pemain lain tetapi saya mempunyai hubungan yang baik dengannya (Klopp). Beliau banyak membantu saya.

“Ada kalanya beliau boleh menjadi sukar kepada anda, kerana beliau akan bercakap apa yang difikirkannya mengenai anda. Tetapi beliau seorang yang jujur dan saya sukakannya.

“Ia dilakukan dengan sebab yang betul. Bukannya untuk membuatkan anda merasa teruk atau sebagainya.

“Beliau amat tegas, tetapi daripada sudut berbeza, beliau membuatkan anda lebih berkeyakinan. Beliau sering menjelaskan kesilapan itu adalah asam garam bola sepak.

“Saya masih ingat detik ketika aksi berdepan Leicester, saya melakukan kesilapan menyebabkan kami bolos. Beliau tidak marah kerana kesilapan itu, sebaliknya lebih marah melihat reaksi saya selepas melakukan kesilapan.

“Beliau mengatakan saya terlalu memikirkan mengenainya berbanding cuba melupakan kesilapan itu.”

Wijnaldum, 27, tiba di Liverpool sebagai perancang menyerang, namun Klopp mengubahnya kepada perancang tengah bertahan dengan keutamaan membantu jentera pertahanan. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 11:04 AM