PEMAIN Bayern Munich meraikan jaringan Rafinha. FOTO AFP
PEMAIN Bayern Munich meraikan jaringan Rafinha. FOTO AFP

BERLIN: Bayern Munich menuju ke Ajax untuk penentuan juara Kumpulan E, Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini dengan skuad penuh bintang, selepas Niko Kovac memutuskan untuk menamatkan sistem penggiliran pemain.

"Kami mahu terus menang," kata Leon Goretzka, pemain tengah yang mendapat kepercayaan untuk bergandingan bersama Joshua Kimmich.

Hasil gandingan itu, Bayern berjaya meraih kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir, termasuk mengatasi Nuremburg 3-0 dalam liga, Sabtu lalu.

"Kami terbang ke Amsterdam dan mahu muncul juara kumpulan, ia penting bagi kami," katanya.

Bayern hanya memerlukan satu mata dalam pertembungan di Arena Johan Cruyff untuk menjuarai Kumpulan E, dengan mereka kini mendahului dua mata mengatasi kelab Belanda itu.

Menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan itu, kedua-dua pasukan sudah mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua.

Robert Lewandowski dan Arjen Robben masing-masing meledak dua jaringan ketika membelasah Benfica 5-1 di Allianz Arena dua minggu lalu untuk menamatkan persembahan hambar sepanjang Oktober dan November, yang turut menyaksikan mereka makin tersisih di Bundesliga.

Bayern kini bangkit untuk menduduki tempat ketiga selepas pengendalinya, Kovac mengambil risiko melakukan penggiliran dengan pemain bintang diletakkan di bangku simpanan.

"Kami sudah mendapat rentak, pemain mempamerkan kebangkitan dan tiada sebab kami mahu melakukan sebarang perubahan," jelasnya.

Pemenang Piala Dunia - pertahanan Jerman, Mat Hummels serta pemain tengah Sepanyol, Javi Martinez memanaskan bangku simpanan bersama-sama pemenang Euro 2016, Renato Sanches ketika menentang Nuremberg. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 12:33 PM