PRO Canselor Universiti Malaya, Tan Sri Ramli Ngah Talib menyampaikan Sarjana Muda Sains Sukan (Pengurusan Sukan) kepada Mohd Fitri Saari pada Istiadat Konvokesyen ke 58 Universiti Malaya. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
PRO Canselor Universiti Malaya, Tan Sri Ramli Ngah Talib menyampaikan Sarjana Muda Sains Sukan (Pengurusan Sukan) kepada Mohd Fitri Saari pada Istiadat Konvokesyen ke 58 Universiti Malaya. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Jumiati Rosly


KUALA LUMPUR: Pemain hoki kebangsaan, Mohammad Fitri Saari yang memerlukan hampir enam tahun untuk menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan kini mengharapkan ijazahnya itu akan menjadi tiket kepadanya memperoleh pekerjaan secepat mungkin.

"Saya mahu cari kerja dan saya akan cuba dulu jika ada kekosongan di Majlis Sukan Negara (MSN).

"Saya akan cari kerja secepat mungkin, jika tak dapat saya beri fokus sepenuhnya kepada hoki. Kerja itu tengoklah di mana ada kekosongan, kalau boleh dapat jadi pegawai di MSN kerana minat saya di bidang kejurulatihan atau perniagaan," katanya selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) 2018 di sini hari ini.

Fitri, 25, berkata dia memilih untuk ke MSN kerana masih mahu aktif bermain hoki dalam masa yang sama. 

Malah, dia mengakui banyak berkorban bagi memastikan impian untuk menamatkan pengajiannya tercapai.

"Awal pagi saya berlatih kemudian ke Universiti Malaya (UM) belajar, lepas itu berlatih kembali. Tetapi kalau ada kelas di sebelah pagi, saya terpaksa gugurkan subjek itu.

"Jadi, memang susah bagi saya (untuk menamatkan pengajian) tetapi pengorbanan ini sangat berbaloi apabila memiliki ijazah ini," katanya.

Menurutnya, beliau menghadiahkan ijazah yang diperoleh itu buat ibu bapanya - Asiah Abdullah dan Saari Zakaria yang banyak membantunya dalam mencapai kecemerlangan dalam sukan serta pelajaran.

"Terutama ibu saya dulu yang banyak berkorban termasuk terpaksa berniaga kecil-kecilan untuk membesarkan dan menghantar saya ke Sekolah Sukan Bandar Penawar. Ijazah hari ini memang ditujukan kepada ibu saya," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 10:10 PM