PANDELELA (kiri) dan Mohammad Fitri yang bakal menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan. FOTO Arkib NSTP
PANDELELA (kiri) dan Mohammad Fitri yang bakal menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan. FOTO Arkib NSTP
Aida Adilah Mat


PEMAIN hoki kebangsaan Mohammad Fitri Saari meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat beraksi dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Oman bermula 18 Oktober lalu kerana perlu menghadiri majlis konvokesyen Universiti Malaya, Selasa ini. 

Fitri yang dijadualkan menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan bersama Pandelela Rinong bagaimanapun menyifatkan tindakannya itu tepat kerana ia satu lagi pencapaian dirinya dalam bidang akademik.

“Bukan mudah untuk membuat pilihan, namun saya memilih untuk menghadiri majlis graduasi ini kerana ia bukanlah acara yang setiap hari saya boleh sertai. 

“Selain itu, saya mahu meraikan pengorbanan diri, keluarga dan rakan-rakan serta tenaga pengajar (pensyarah dan jurulatih) yang banyak berkorban untuk saya menggenggam segulung ijazah.

“Selama lebih lima tahun melanjutkan pengajian di UM, saya perlu memastikan jadual latihan dan kelas tidak bertindih, masa sangat terhad untuk saya sebagai contoh, latihan bermula pada 8.30 pagi dan tamat pada 9 pagi kemudian bergegas menghadiri kelas di UM,” katanya.

Sementara itu, Pandelela melahirkan rasa gembira dan syukur kerana berjaya menggenggam segulung ijazah selepas lebih lima tahun bergelut antara bidang akademik dengan sukan.

“Saya amat bersyukur kerana mendapat sokongan daripada semua pihak khususnya tenaga pengajar (pensyarah dan jurulatih), rakan sekuliah yang banyak membantu saya dalam setiap subjek yang dipelajari. 

“Selain bergelut dengan tugasan dan kelas, dalam masa sama membuat persiapan bagi menyertai  pertandingan terjun di pelbagai peringkat   menyebabkan perlu bijak membahagikan masa,” kata pemenang pingat perak di Sukan Olimpik 2016, Rio de Jeneiro, Brazil. 

Untuk rekod, Pandelela memulakan pengajian di UM pada September 2012.

Fitri dan Pandelela antara 5,279 graduan UM yang menerima ijazah sempena Istiadat Konvokesyen UM kali ke-58 yang bermula pada 20 hingga 24 Oktober ini. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 5:39 PM