PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola. FOTO EPA
PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola. FOTO EPA
AFP

MANCHESTER: Pep Guardiola mencabar jentera serangan Manchester City untuk menjadi lebih klinikal, selepas melakar kemenanan besar 5-0 ke atas Burnley dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Lima penjaring berbeza berjaya mencipta nama dalam perlawanan itu, sekali gus membuatkan bekas penjaga gol City, Joe Hart mengalami mimpi buruk ketika kembali beraksi di Stadium Etihad.

Keputusan itu menyaksikan City sudah merekodkan 26 gol musim ini, nisbah jaringan yang lebih baik berbanding musim lalu untuk tempoh yang sama.

Musim lalu turut menyaksikan anak buah Guardiola memperbaharui jumlah gol terbanyak Liga Perdana Inggeris dengan 106 gol.

Bagaimanapun, pengurus berkenaan masih belum berpuas hati apabila mahu jentera serangannya lebih tajam di depan gawang lawan.

“Kami mempunyai 24 percubaan, 10 menepati sasaran. Secara purata, kami melakukan 21 percubaan dalam satu perlawanan – kami adalah yang terbaik di Eropah.

“Namun, kami perlu meningkatkan percubaan tepat kami, kerana babak pertama hanya 1-0. Kami sebenarnya mencipta banyak peluang dalam tempoh itu,” kata Guardiola.

City yang turun dengan rekod tanpa kalah mendahului pada minit ke-17, selepas Sergio Aguero menyudahkan hantaran David Silva, sebelum Bernardo Silva menghadiahkan gol kedua buat pasukan itu minit ke-54.

Dua minit kemudian, City menambah gol lagi dan kali ini menerusi percubaan bintang Brazil, Fernandinho.

Guardiola kemudian membawa masuk tonggak tengah Belgium, Kevin De Bruyne yang tidak beraksi sejak perlawanan pembukaan musim ini kerana kecederaan lutut dan kemasukannya mendapat sorakan penonton.

Percubaan menarik Riyad Mahrez ke penjuru atas gawang Burnley meletakkan City mendahului 4-0, sebelum Leroy Sane mengesahkan kemenangan besar pasukannya dengan gol kelima pada penghujung perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 11:48 AM