SARRI tak gentar kebangkitan United ketika menentang Newcastle. FOTO/AGENSI
SARRI tak gentar kebangkitan United ketika menentang Newcastle. FOTO/AGENSI
AFP

LONDON: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, akan kembali ke bekas kelabnya esok untuk menyekat kemaraan Chelsea, yang kini semakin garang di bawah bimbingan Maurizio Sarri.

United bertandang ke Stamford Bridge dengan perbezaan tujuh mata di belakang Chelsea, yang sudah mengumpul 20 mata untuk berada di kelompok tiga teratas Liga Perdana, bersama Manchester City dan Liverpool.

Dua minggu lalu, United bangkit selepas ketinggalan 2-0 kepada Newcastle di laman sendiri sebelum menang 3-2, - sekaligus menyelamatkan nasib pengendali dari Portugal ini yang mungkin akan dipecat.

Musim Mourinho dirosakan ‘perang dingin’ dengan tonggak utama serta pendekatannya yang ditolak kerana tidak menyerap taktikal menyerang seperti diharapkan peminat ketika era kegemilangan Alex Ferguson, selama 27 tahun.

Sejak Ferguson bersara pada 2013, United mungkin menyesal kerana melepaskan peluang untuk mendapat khidmat bekas pemain Itali, Sarri pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Gaya permainan diterapkan Sarri tidak banyak berbeza, namun pengendali dari Itali yang sentiasa mengingatkan pemainnya supaya sentiasa tenang dan senyum ketika beraksi kini menjadi tarikan utama peminat Chelsea.

“Ada detiknya kita perlu ketepikan rasa kecewa selepas mempamerkan aksi luar biasa. Walaupun menguasai perlawanan sehingga lima minit terakhir atau masa tambahan,” kata Sarri kepada akhbar Itali, Corriere dello Sport ketika Chelsea seri 1-1 berdepan skuad bimbingan Jurgen Klopp, Liverpool, bulan lalu.

“Itulah reaksi luar biasa yang cuba ditunjukkan sekarang. Bayangkan, 10 minit sebelum itu, saya lihat Klopp memandang saya. Jadi saya tanya ‘Kenapa kamu tersenyum? Dia menjawab: Adakah kamu sedang bergembira? 

"Saya berkata: 'Ya' dan dia menambah 'saya juga'. Sedangkan ketika itu, dia sedang kalah. Selepas gol penyamaan Liverpool dan perlawanan tamat, kami berpelukan seperti dua sahabat lama, itulah detik yang akan diingati.

Di bawah bimbingan Sarri, corak permainan Chelsea semakin meningkat dan diakui pemainnya, penjaring gol utama Liga Perdana, Eden Hazard.

"Saya suka gaya permainan ini. Ia berbeza dengan Conte atau Mourinho sebelum ini," kata pemain Belgium itu, yang meledak lapan gol musim ini. "Kami menguasai lebih banyak bola,”

Prestasi menakjubkan Hazard juga berpunca daripada cabaran Sarri yang mahukan dia meledak 40 gol musim ini. “Memang mudah merangsang Hazard, dia bebas (di padang)."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 11:51 AM